GOMBAK, 29 MEI: Selangor berjaya menyelesaikan isu pemilikan tanah yang berlarutan lebih lima dekad melibatkan peserta Tanah Pertanian Buku Hijau apabila seramai 161 peserta kini menerima pengiktirafan sah terhadap tanah yang diusahakan sejak 1970-an.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri mula memuktamadkan status pemilikan tanah peserta program itu pada 2023 bagi menyelesaikan isu yang tertangguh sejak pelaksanaannya diperkenalkan pada 1975.
Menurutnya, selama 51 tahun peserta hanya mengusahakan tanah tanpa hak milik rasmi atau kelulusan sah, sekali gus menyebabkan status pemilikan kekal tidak jelas dan memerlukan penyelesaian menyeluruh.
“Program ini bermula sekitar 1975, namun sehingga kini hak pemilikan atau kelulusan rasmi kepada penduduk tidak dapat diberikan dengan sempurna susulan pelbagai kekangan serta proses semakan dan penyelarasan.
“Kerajaan Negeri mula menyelesaikan perkara ini pada 2023 dan alhamdulillah, dalam tempoh tiga tahun berjaya menyelesaikan hak pemilikan bagi 161 peserta yang dikenal pasti melalui proses sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kelulusan Permohonan Tanah Pertanian Buku Hijau Penduduk Gombak Kini Menjadi Realiti di Dewan Beringin, Sri Gombak, hari ini.
Amirudin berkata peserta akan menerima Lesen Pendudukan Sementara (TOL) terlebih dahulu sebelum ditawarkan tempoh pajakan lebih panjang antara 21 hingga 30 tahun sebagai langkah ke arah pemilikan yang lebih stabil dan tersusun.
Katanya, sekiranya terdapat kawasan yang bersesuaian, Kerajaan Negeri turut akan memberi peluang kepada penduduk membeli tanah berkenaan bagi memastikan pemilikan lebih kekal dan terjamin pada masa depan.
Menurut beliau, Program Buku Hijau yang diasaskan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein bertujuan menggalakkan rakyat mengusahakan tanah bagi menjamin keterjaminan makanan serta meningkatkan pendapatan keluarga.
Beliau berkata setiap peserta mengusahakan antara satu hingga 1.3 hektar tanah dengan keluasan keseluruhan dianggarkan hampir 160 hektar.
Katanya, Kerajaan Negeri juga perlu mengenal pasti waris serta menyemak rekod kerana sebahagian peserta asal telah meninggal dunia bagi memastikan semua urusan pemilikan dapat diselesaikan dengan tepat dan teratur.
Program Buku Hijau ialah inisiatif pertanian kerajaan yang memperuntukkan tanah negeri kepada komuniti luar bandar untuk bercucuk tanam dan pengeluaran makanan ketika tekanan ekonomi serta kos sara hidup tanpa memberikan hak milik secara terus.
Amirudin berkata penyelesaian dicapai bukan sekadar berkaitan pemilikan tanah, malah menghidupkan semula semangat asal Program Buku Hijau yang menekankan kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, dalam ucapannya beliau berkata penyelesaian isu Buku Hijau antara pencapaian paling bermakna Kerajaan Negeri kerana melibatkan pemulihan hak rakyat yang tertangguh sekian lama.
Katanya, inisiatif Buku Hijau masih relevan dalam memperkukuh keterjaminan makanan dan membantu komuniti menghasilkan bekalan makanan sendiri ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
“Konflik global dan gangguan ekonomi menunjukkan kepentingan pengeluaran makanan tempatan serta keupayaan sara diri yang lebih kukuh bagi memastikan keterjaminan bekalan makanan negara,” katanya.
Dalam majlis sama, seramai 10 penduduk Kampung Indian Settlement turut menerima Notis 5A sebagai kumpulan terakhir bagi penyelesaian isu tanah komuniti itu yang berlarutan sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Amirudin berkata kejayaan tersebut hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan Daerah, agensi berkaitan, pemimpin masyarakat serta penduduk yang terus memperjuangkan hak mereka.
Katanya, Kerajaan Negeri komited memastikan hak rakyat yang tertangguh sekian lama dapat diselesaikan secara adil dan bermaruah demi kesejahteraan generasi akan datang.











