Tanah bekas ladang babi dikosongkan, penternak mula tukar perusahaan - EXCO

28 Mei 2026, 8:02 AM
Tanah bekas ladang babi dikosongkan, penternak mula tukar perusahaan - EXCO

KUALA LANGAT, 28 MEI: Kerajaan Selangor sedang melaksanakan proses penstrukturan semula tanah bekas ladang babi di negeri ini termasuk beralih kepada aktiviti pertanian dan penternakan lain yang lebih mampan.

EXCO pertanian berkata sebahagian penternak daripada 114 ladang seluas kira-kira 350 ekar (141.64 hektar) telah mula menukar penggunaan tanah kepada tanaman limau dan penternakan ayam, manakala beberapa lagi masih dalam proses peralihan.

Menurut Dato’ Ir Izham Hashim, Kerajaan Negeri turut mencapai ketetapan untuk mengadakan pertemuan bersama penternak bagi membincangkan hala tuju penggunaan tanah berkenaan.

“Kerajaan Negeri juga akan mengadakan mesyuarat bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Chan Foong Hin pada 9 Jun ini bagi menyelaras usaha di peringkat Persekutuan serta bantuan Kerajaan Selangor dalam proses mengosongkan tanah berkenaan,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Ibadah Korban Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR) di Surau Haji Hassan, Sijangkang, hari ini.

EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim (duduk, tengah) bergambar bersama ahli Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR) ketika menghadiri program Ibadah Korban di Surau Haji Hassan di Sijangkang, Kuala Langat pada 28 Mei 2026. Foto UFAIRAH TARMIDZI/MEDIA SELANGOR

Dalam perkembangan sama, Izham berkata audit status tanah sedang dilaksanakan termasuk membabitkan aspek pencemaran selain pemantauan terhadap kualiti air sungai dan laut yang kini menunjukkan perkembangan semakin baik.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata pentadbiran negeri akan melaksanakan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang tidak mahu ada ladang penternakan babi di negeri ini.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian terhadap kebajikan penternak yang merupakan rakyat Selangor dengan membantu mereka beralih kepada sumber pendapatan lain.

Ahli Pertubuhan Wartawan dan Jurugambar Selangor (WAJAR) bergotong-royong melapah daging korban sempena Program Ibadah Korban di Surau Haji Hassan, Sijangkang, Kuala Langat pada 28 Mei 2026. Foto UFAIRAH TARMIDZI/MEDIA SELANGOR

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.