Ladang babi: Kerajaan Negeri akan laksana titah Sultan Selangor

28 Apr 2026, 2:15 PM
Ladang babi: Kerajaan Negeri akan laksana titah Sultan Selangor

SHAH ALAM, 28 APRIL: Kerajaan Negeri akan melaksanakan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang tidak mahu ada ladang menternak babi di negeri, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata titah Sultan Selangor itu adalah langkah terbaik buat masa ini.

"Tuanku berpandangan dah bertahun-tahun cadang (kaedah ladang babi moden), buat apa lagi nak cadang, kita berhenti dulu, kita terima pandangan itu sebagai pandangan terbaik buat masa ini dan kita laksanakan dengan titah dan juga cadangan oleh DYMM Tuanku, oleh pihak Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri juga akan memberi perhatian kepada isu kebajikan penternak yang juga rakyat Selangor dengan membantu mereka beralih kepada sumber pendapatan yang lain.

Jelasnya, langkah Kerajaan Negeri itu bukan menentang atau mempertahankan mana-mana pihak, sebaliknya memastikan keadilan kepada semua.

“Penternak-penternak yang puluhan tahun (ternak babi) itu rakyat Selangor juga.

“Apakah dengan polisi ni kita nak buat mereka kebulur tak makan? Kerajaan Negeri kena bantulah. Tukar naratif dan kehidupan mereka daripada penternak kepada petani yang lain,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Amirudin mengingatkan semua ahli dewan supaya bertindak secara rasional dan tidak mengambil kesempatan terhadap titah Sultan Selangor.

“Kerajaan Negeri yang bertanggungjwab mempertahankan institusi diraja sebagai institusi yang mulia dengan memastikan Perlembagaan dapat dipertahankan, kehidupan rakyat dapat dipertahankan.

“Dan selama ini kita beruntung mempunyai Tuanku yang membaca, memerhati dengan betul setiap tingkah laku.

“Kita sebagai ahli dewan pula jangan kerja kita jadi batu api sementara nampak ada kepentingan, supaya kita tak memberikan kekaburan. Ini penting. Saya tegur diri saya, rakan-rakan,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menegur sikap segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati serta enggan mematuhi titah larangan penternakan babi di negeri ini.

Baginda bertitah, meskipun arahan telah dikeluarkan sebelum ini, masih kedengaran rungutan yang mempertikaikan keputusan berkenaan.

"Beta telah memberikan faktor-faktor kenapa ternakan babi tidak sesuai di negeri Selangor antaranya faktor tanah yang tidak mencukupi dan ternakan babi diadakan di kawasan penempatan penduduk yang padat dengan umat Islam.

"Isu pencemaran sungai dan udara juga menjadi faktor kenapa ternakan babi di negeri Selangor tidak sesuai. Beta menyarankan isu ini diselesaikan dengan mengimport daging babi dari luar terutamanya Sarawak," titah Baginda.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.