SHAH ALAM, 28 MEI: Malaysia disaran memperkenalkan garis panduan khusus berkaitan makanan retort bagi memperkukuh aspek keselamatan, kawalan kualiti dan perlindungan pengguna susulan perkembangan pesat produk berasaskan teknologi tersebut di pasaran.
Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nor Afizah Mustapha berkata pengguna perlu lebih berhati-hati dan menilai keadaan pembungkusan makanan retort sebelum membeli bagi mengelakkan risiko kesihatan.
“Pada masa ini Malaysia masih belum mempunyai garis panduan teknikal khusus seperti di Amerika Syarikat (AS) dan penguatkuasaan sepenuhnya dalam sektor makanan retort juga masih belum diperkukuh.
“Pengguna juga disaran memilih produk daripada pengeluar yang mempunyai sistem jaminan kualiti seperti pensijilan MESTI, Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP) serta Amalan Pengilangan Baik (GMP) bagi memastikan proses pengeluaran dilakukan secara selamat dan bersih,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Bicara Semasa bertajuk Makanan Retort: Tahan Lama Tapi Adakah Selamat? terbitan Media Selangor baru-baru ini.

Menurutnya, garis panduan teknikal khusus amat penting bagi membantu industri memahami dan mematuhi standard pemprosesan yang betul selain mengelakkan risiko pencemaran makanan.
Nor Afizah memaklumkan setiap produk retort perlu melalui proses validasi yang tepat bagi memastikan mikroorganisma berbahaya seperti Clostridium Botulinum dapat dimusnahkan sepenuhnya bagi mengelakkan risiko keracunan makanan atau botulisme.
Katanya, jangkitan bakteria tersebut boleh menyerang sistem saraf sehingga menyebabkan kegagalan sistem pernafasan, lumpuh dan berisiko membawa maut sekiranya tidak dikawal dengan baik.

Nor Afizah turut mencadangkan supaya latihan kepada auditor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pengusaha kecil dan sederhana (PKS) diperkukuh khususnya dalam aspek validasi proses dan pemeriksaan pembungkusan makanan retort.
Selain itu, beliau berkata aspek penguatkuasaan perlu diperkasa melalui pemeriksaan berkala serta pensampelan produk untuk ujian makmal bagi memastikan keselamatan makanan sentiasa terjamin.









