Hospital Awam Petaling Jaya tingkat akses kesihatan rakyat, kurangkan kesesakan

27 Mei 2026, 12:09 PM
Hospital Awam Petaling Jaya tingkat akses kesihatan rakyat, kurangkan kesesakan
Hospital Awam Petaling Jaya tingkat akses kesihatan rakyat, kurangkan kesesakan

SHAH ALAM, 27 MEI: Cadangan pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya di kawasan DUN Taman Medan disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh kemudahan kesihatan awam untuk penduduk sekitar Petaling Jaya.

Penyelaras DUN Taman Medan Halimey Abu Bakar berkata, pembinaan hospital baharu itu amat diperlukan bagi memenuhi keperluan rakyat terhadap akses rawatan kesihatan yang lebih moden, menyeluruh dan berkualiti.

“Cadangan pembinaan hospital awam ini merupakan satu berita positif dan penting buat penduduk Petaling Jaya serta kawasan sekitarnya yang sememangnya memerlukan akses kesihatan awam yang lebih menyeluruh, moden dan berkualiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyambut baik kenyataan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang bersedia memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi membantu mempercepat urusan berkaitan tanah untuk projek berkenaan.

Katanya, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri amat penting bagi memastikan pembangunan fasiliti kesihatan untuk rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan berkesan.

Penyelaras DUN Taman Medan Halimey Abu Bakar berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Iltizam Aidilfitri 2026 Penyelaras DUN Taman Medan di Dataran Anak Muda PJS1, Petaling Jaya pada 18 April 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata, Hospital Awam Petaling Jaya itu dijangka memberi manfaat besar kepada rakyat khususnya dalam aspek kemudahan rawatan, pengurangan kesesakan di hospital sedia ada serta meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan awam di kawasan Petaling Jaya dan sekitarnya.

“Semoga segala urusan berkaitan tapak dan proses pembangunan hospital ini dipermudahkan demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Amirudin berkata Kerajaan Selangor dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencapai persetujuan terhadap tapak dicadangkan bagi pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya mengandungi 500 katil untuk menampung keperluan penduduk di koridor Petaling Jaya-Subang Jaya-Puchong.

Beliau berkata keputusan itu dicapai susulan mesyuarat penyelarasan terkini pada 14 Mei lalu melibatkan agensi Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Pengumuman ini memperlihatkan kerjasama utuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam membuat keputusan berkaitan kesihatan awam khususnya pembinaan dan pengoperasian hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.