Bantuan sekolah DUN Taman Medan ringankan beban keluarga B40

20 Dis 2025, 12:00 PM
Bantuan sekolah DUN Taman Medan ringankan beban keluarga B40

PETALING JAYA, 20 DIS: Bantuan baucar RM100 dan kelengkapan sekolah yang diagihkan melalui program Kembali Ke Sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan meringankan beban ibu bapa, khususnya keluarga berpendapatan renda.

Seorang penerima, Noraini Md Zain, 65, berkata bantuan itu amat bermakna kerana dia biasanya perlu memperuntukkan sekitar RM300 untuk membeli keperluan cucunya setiap kali sesi persekolahan dibuka.

“Saya memang gembira sebab bantuan ini dapat meringankan beban persediaan persekolahan cucu, Sofea Medina Mohd Taufik, yang akan memasuki darjah lima di Sekolah Kebangsaan Assunta.

“Baucar RM100 yang diterima sangat membantu kerana penjimatan ini dapat digunakan untuk keperluan lain seperti membayar yuran sekolah cucu,” katanya kepada Media Selangor.

Noraini Md Zain (tengah). Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Penerima lain, Shaifuddin Mahmud, 56, turut melahirkan rasa syukur kerana bantuan itu amat membantu memandangkan dia kini tidak bekerja.

“Perbelanjaan persekolahan untuk dua anak saya mencecah sekitar RM800 setahun, belum termasuk kos tambahan jika pakaian atau kasut rosak.

“Program seperti ini benar-benar meringankan beban orang susah, terutama keluarga yang tidak bekerja,” ujarnya.

Shaifuddin Mahmud. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Seramai 200 pelajar menerima bantuan tersebut dan membuat penebusan baucar melalui kaunter khas yang disediakan di Dataran Anak Muda PJS, hari ini.

Penyelaras DUN Taman Medan, Halimey Abu Bakar berkata bantuan itu disasarkan kepada keluarga berpendapatan rendah dengan pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.

“Antara syarat lain ialah ibu bapa mestilah pengundi di DUN Taman Medan. Setiap keluarga layak menerima bantuan untuk dua orang anak dengan baucar bernilai RM100.

“Baucar berkenaan boleh ditebus dalam bentuk pakej kelengkapan sekolah merangkumi kasut, seluar, baju dan stokin. Sekiranya ibu bapa ingin membeli barangan tambahan seperti sepasang kasut lagi, mereka boleh menambah dengan bayaran sendiri,” katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.