SHAH ALAM, 18 FEB: Sebanyak 18 masjid dan surau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Taman Medan menerima sumbangan berjumlah RM18,000 daripada Pejabat Ahli Majlis Petaling Jaya Zon 21 sebagai persiapan menyambut Ramadan.
Ahli Majlisnya, Nabil Halimi berkata setiap masjid dan surau berkenaan menerima RM1,000 bagi membantu melancarkan program pengimarahan sepanjang bulan mulia itu.
“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu ahli kariah membuat persiapan mengimarahkan Ramadan melalui aktiviti sahur, iftar, tadarus al-Quran dan iktikaf pada 10 malam terakhir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, institusi masjid dan surau perlu terus diperkasa bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah sebagai wadah pembangunan komuniti, khususnya melibatkan golongan belia.
“Sebagai Ahli Majlis, saya sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak masjid dan surau dalam menganjurkan program keagamaan, terutamanya yang melibatkan penyertaan golongan belia.

“Inisiatif seperti Rakan Muda Masjid yang diperkenalkan Kerajaan MADANI wajar dimanfaatkan bagi mengaktifkan peranan anak muda dalam pengimarahan institusi masjid,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyarankan agar pengurusan masjid dan surau memanfaatkan teknologi digital serta kecerdasan buatan bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran dan ketelusan pengurusan dana.
“Saya mencadangkan supaya diwujudkan sistem audit digital bagi memastikan ketelusan pengurusan dana derma. Pejabat Ahli Majlis bersedia menyokong mana-mana masjid atau surau yang berminat untuk dijadikan projek rintis,” katanya.
Menurutnya, masjid dan surau bersama ahli kariah memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat Islam yang berakhlak dan berintegriti, selari dengan aspirasi pembangunan Negeri Selangor.
“Saya percaya pembangunan yang ingin kita capai bukan sahaja bersifat material, tetapi turut menekankan pembinaan masyarakat yang beradab dan berintegriti,” katanya.








