SHAH ALAM, 27 MEI: Kerajaan Selangor dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencapai persetujuan terhadap tapak dicadangkan bagi pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya mengandungi 500 katil untuk menampung keperluan penduduk di koridor Petaling Jaya-Subang Jaya-Puchong.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu dicapai susulan mesyuarat penyelarasan terkini pada 14 Mei lalu melibatkan agensi Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan.
“Pengumuman ini memperlihatkan kerjasama utuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam membuat keputusan berkaitan kesihatan awam khususnya pembinaan dan pengoperasian hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, usaha mencari tapak sesuai untuk hospital awam di Petaling Jaya digerakkan secara aktif sejak 2018 susulan peningkatan penduduk di daerah Petaling yang kini mencecah 2.3 juta orang termasuk lebih 800,000 penduduk di Petaling Jaya sahaja.
Katanya, ketika ini penduduk sekitar masih bergantung kepada Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam dan Pusat Perubatan Universiti Malaya yang berdepan tekanan kapasiti susulan kepadatan penduduk tinggi.
Amirudin berkata lokasi tapak yang dipersetujui KKM dilihat memenuhi keperluan dari aspek akses, kapasiti, kos tanah dan kedudukan berhampiran kawasan tumpuan penduduk.
Menurutnya, tapak berkenaan juga membolehkan hospital berkapasiti 500 katil dibangunkan menggunakan konsep vertikal seperti Hospital Ampang sekali gus mengoptimumkan penggunaan tanah dan kos pembinaan.
Beliau berkata Kerajaan Negeri sebelum ini turut bekerjasama dengan KKM dalam pembangunan Hospital Cyberjaya, Hospital Tanjong Karang dan Hospital Kapar bagi meningkatkan akses kesihatan awam di Selangor.
“Kerajaan Negeri bersedia memudah cara dan menyegerakan proses urusan tanah supaya pembinaan Hospital Petaling Jaya oleh KKM dapat memberi manfaat kepada penduduk Petaling Jaya, Subang Jaya dan Puchong,” katanya.
Isu ini mencapai kemuncaknya selepas penduduk menyatakan kemarahan disebabkan tiadanya kemajuan dalam perancangan pembinaan hospital awam di Petaling Jaya.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini berkata pihaknya terpaksa membatalkan rancangan awal untuk mengambil alih tanah milik persendirian berhampiran Jalan Klang Lama kerana kosnya terlalu tinggi.
Beliau menegaskan KKM perlu berbelanja secara berhemah kerana kementerian mahu membina hospital yang selesa serta dilengkapi teknologi perubatan moden.
“Namun, KKM tidak akan mengambil jalan mudah dengan memindahkan hospital ini ke lokasi yang jauh semata-mata untuk menjimatkan kos.
“Kebajikan dan kemudahan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.








