PETALING JAYA, 20 DIS: Seramai 200 pelajar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan menerima baucar RM100 dan kelengkapan asas sekolah menerusi program Kembali Ke Sekolah sebagai persediaan sesi persekolahan baharu tahun hadapan.
Penyelaras DUN Taman Medan, Halimey Abu Bakar berkata bantuan itu disasarkan kepada keluarga berpendapatan rendah dengan pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.
“Antara syarat lain ialah ibu bapa mestilah pengundi di DUN Taman Medan. Setiap keluarga layak menerima bantuan untuk dua orang anak dengan baucar bernilai RM100.

“Baucar berkenaan boleh ditebus dalam bentuk pakej kelengkapan sekolah merangkumi kasut, seluar, baju dan stokin. Sekiranya ibu bapa ingin membeli barangan tambahan seperti sepasang kasut lagi, mereka boleh menambah dengan bayaran sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan di Dataran Anak Muda PJS, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.
Menurut Halimey, peruntukan program itu disalurkan melalui penyelarasan DUN Taman Medan dengan sokongan Kerajaan Negeri.
“Saya berharap baucar ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh penerima. Mudah-mudahan sumbangan kecil ini dapat membantu, dan saya mendoakan agar anak-anak ini terus maju serta berjaya dalam kehidupan dan pelajaran mereka,” ujarnya.


