SUBANG JAYA, 27 MEI: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) akan melaksanakan penyelenggaraan kira-kira 15,000 batang pokok di seluruh kawasan pentadbirannya bermula tahun ini bagi mengurangkan risiko pokok tumbang dan dahan patah yang boleh mengancam keselamatan awam.
Datuk Bandar Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata langkah itu diambil secara proaktif bagi memastikan pokok di kawasan bandar sentiasa berada dalam keadaan selamat dan terurus terutama ketika cuaca tidak menentu serta musim hujan.
“Bagi tahun 2026, sebanyak RM5.2 juta telah diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan pokok melibatkan kira-kira 15,000 batang pokok di seluruh pentadbiran MBSJ. Pelaksanaan ini akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh enam bulan bermula 2 Mei hingga 1 November 2026,” katanya dalam Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Subang Jaya, semalam.
Menurut beliau, kerja-kerja penyelenggaraan tersebut dilaksanakan secara berfasa di kawasan terpilih bagi memastikan kelancaran operasi tanpa menjejaskan keselesaan pengguna jalan raya serta penduduk setempat.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha berterusan ini penting bagi mengelakkan insiden tidak diingini seperti pokok tumbang yang boleh mengancam keselamatan orang awam dan merosakkan harta benda.
Dalam pada itu, MBSJ turut merakamkan penghargaan kepada semua warga Subang Jaya atas kerjasama dan keprihatinan sepanjang tempoh pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan tersebut.
Usaha berkenaan diharap dapat memperkukuh komitmen MBSJ dalam memastikan Subang Jaya kekal sebagai bandar raya yang selamat, hijau, lestari dan berdaya huni.








