SUBANG JAYA, 26 MEI: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) akan melaksanakan Operasi Sita Tunggakan Cukai Taksiran secara bersasar mulai Jun ini, dengan fokus terhadap premis komersial dan perniagaan yang mempunyai tunggakan tinggi.
Datuk Bandar Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata tindakan itu dibuat selaras Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) bagi memastikan pemilik harta menunaikan tanggungjawab membayar cukai demi kelangsungan perkhidmatan bandar raya.
Menurutnya, fasa awal operasi akan melibatkan premis komersial dan perniagaan yang merekodkan tunggakan melebihi RM10,000.
“Operasi ini dilaksanakan bagi memastikan pematuhan pembayaran cukai taksiran oleh pemilik harta, khususnya dalam kalangan premis komersial dan perniagaan yang mempunyai tunggakan tinggi,” katanya ketika Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Subang Jaya.
Beliau turut menghargai kerjasama Ahli Majlis dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dalam membantu menyebarkan maklumat operasi kepada pemilik harta.
MBSJ menasihatkan pemilik harta yang mempunyai tunggakan supaya segera menjelaskan bayaran bagi mengelakkan tindakan sitaan.








