SUBANG JAYA, 26 Mei: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melaksanakan projek naik taraf bulatan Persiaran Kewajipan bagi mengurangkan kesesakan trafik di laluan utama menghubungkan Subang Jaya, Bandar Sunway dan USJ.
Datuk Bandar Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata kerja dilaksanakan secara berfasa termasuk penutupan lorong pada waktu malam dan luar puncak bagi mengurangkan gangguan kepada pengguna jalan raya.
“Bulatan Persiaran Kewajipan merupakan laluan strategik yang menampung aliran trafik tinggi setiap hari kerana menghubungkan kawasan perumahan, institusi pendidikan, fasiliti kesihatan dan pusat komersial utama.
“Justeru, penambahbaikan ini penting bagi memastikan sistem jaringan jalan raya lebih efisien, selamat dan mampan, selari aspirasi bandar raya pintar yang sedang kita bangunkan,” kata dalam Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Subang Jaya, hari ini.
Beliau berkata projek yang dijangka siap pada suku pertama 2027 itu dibiayai sepenuhnya oleh Sunway Property sebagai syarat pembangunan.
Skop projek merangkumi pemasangan tiga lampu isyarat pintar berasaskan AI, penstrukturan semula laluan dari SS15 ke Bandar Sunway, penambahbaikan persimpangan serta pelebaran lorong menuju ke USJ Taipan.
Menurutnya, kerja pembinaan akan dilaksanakan secara berperingkat bagi mengurangkan gangguan trafik.
“Sebahagian besar kerja melibatkan penutupan lorong akan dibuat pada waktu malam dan luar waktu puncak bagi mengelakkan gangguan besar kepada pergerakan harian penduduk,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Michelle Ng Mei Sze menyambut baik pelaksanaan projek tersebut yang disifatkan sebagai penyelesaian jangka panjang kepada isu kesesakan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata naik taraf itu amat dinantikan penduduk memandangkan Bulatan Persiaran Kewajipan sering menjadi lokasi kesesakan terutama pada waktu puncak pagi dan petang.
“Penduduk mahukan penyelesaian yang bukan sahaja mengurangkan kesesakan hari ini, tetapi juga mampu menampung pertumbuhan pembangunan dan jumlah kenderaan pada masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal serta mematuhi arahan papan tanda trafik sepanjang tempoh pelaksanaan projek demi kelancaran bersama.








