25 lokasi 'hotspot' dikesan, 17 CCTV bergerak bantu MBPJ pantau aktiviti buang sampah haram

26 Mei 2026, 7:05 AM
25 lokasi 'hotspot' dikesan, 17 CCTV bergerak bantu MBPJ pantau aktiviti buang sampah haram
25 lokasi 'hotspot' dikesan, 17 CCTV bergerak bantu MBPJ pantau aktiviti buang sampah haram

SHAH ALAM, 26 MEI: 25 lokasi ‘hotspot’ aktiviti pembuangan sampah haram berjaya dikesan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). 

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato' Mohammad Zahri Samingon berkata, selain itu, 19 kes pembuangan sampah haram juga berjaya dikenal pasti menerusi pemantauan berterusan digerakkan oleh 17 buah kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekitar Petaling Jaya. 

"Sebanyak dua kes pendakwaan telah dijatuhkan hukuman, 182 kompaun dikeluarkan dan 78 kes tangkapan direkodkan sepanjang tahun ini sehingga Mei," katanya ketika mempengerusikan mesyuarat bersama ahli majlis MBPJ, semalam.

Beliau berkata, tindakkan itu merupakan hasil pelaksanaan Program PJ Watch yang giat dijalankan bagi mengekang salah laku pembuangan sampah haram di kawasan Petaling Jaya.

Tambah Mohammad Zahri lagi, program berteraskan pendidikan, pemantauan serta penguatkuasaan secara bersasar ini menerima maklum balas positif di dalam pelaksanaan khusus di kawasan tumpuan awam.

"Pihak berkuasa turut melakukan inisiatif hebahan, reruai dan program seperti PJ Watch @Taman serta PJ Watch @School bagi menjadikan Petaling Jaya Mampan dan Bahagia 2030," katanya.

Menurutnya, pihaknya akan terus meningkatkan tahap rondaan dan tindakan penguatkuasaan bagi menangani isu pembuangan sampah haram mengikut perundangan yang digunapakai.

"MBPJ menyeru agar warga Petaling Jaya sentiasa komited di dalam menjaga kelestarian bandar raya demi kesejahteraan serta kebahagiaan penduduk," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.