Selangor percepat tindakan mitigasi tiga hotspot banjir awal monsun

15 Nov 2026, 10:03 AM
Selangor percepat tindakan mitigasi tiga hotspot banjir awal monsun

KLANG, 15 NOV: Tiga hotspot banjir di Selangor dikenal pasti mengalami keadaan lebih kritikal pada peringkat awal Monsun Timur Laut (MTL), justeru itu tindakan mitigasi akan dilaksanakan secepat mungkin bagi mengurangkan risiko kejadian berulang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tiga kawasan terbabit ialah Kampung Melayu Subang, Kubu Gajah dan Puncak Alam.

"Ini merupakan usaha berterusan dan kita akan tengok balik kawasan-kawasan tersebut.

"Sudah pasti dua tiga tempat utama adalah Kampung Melayu Subang, Kubu Gajah dan juga Puncak Alam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Karnival Pendidikan Digital Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.

Menurutnya, usaha mitigasi turut mengambil kira kawasan yang berdepan masalah banjir dalam jangka panjang seperti Parit Mahang di Kuala Selangor.

Amirudin berkata beberapa kawasan yang sebelum ini sering terjejas seperti Dengkil dan Kuala Langat menunjukkan keadaan lebih baik hasil usaha mitigasi yang dilaksanakan.

Katanya, jumlah hotspot banjir di Selangor juga berjaya dikurangkan dari lebih 100 sekitar 2016 hingga 2017 kepada sekitar 56 ketika ini.

"Yang selalu saya sebut adalah Kampung Lombong atau Kampung Bukit Lanchong atau Seri Muda dan juga beberapa kawasan lain.

"Tapi kita baru di awal monsun, mungkin kita kena tengok perkembangannya dari semasa ke semasa," katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027, Amirudin berkata sebanyak 56 projek mitigasi dan tebatan banjir dikenal pasti untuk dilaksanakan tahun hadapan bagi mengurangkan risiko banjir di negeri ini.

Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu mengutamakan projek yang mampu menyelesaikan masalah banjir, merangkumi pembinaan pembetung dan saliran di bawah seliaan PBT hingga jambatan serta kerja tebatan sungai.

Menurutnya, semakan teknikal yang boleh dilakukan secara serentak perlu dimulakan lebih awal, manakala isu yang membabitkan beberapa agensi perlu segera dibawa kepada pihak berkuasa yang mempunyai kuasa untuk menyelesaikannya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.