SUBANG JAYA, 25 MEI: Projek naik taraf Bulatan Persiaran Kewajipan dijangka bermula Julai ini sebagai usaha mengurangkan kesesakan trafik yang sekian lama membelenggu penduduk kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata projek bernilai kira-kira RM100 juta itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk disiapkan.

“Jadi kita jangka pada pertengahan tahun ini projek boleh dimulakan termasuk kerja naik taraf bulatan dan ia memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk siap,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kawasan sekitar bulatan berkenaan hari ini.
Turut menyertai lawatan tapak itu ialah pihak polis, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Sunway Group serta wakil penduduk.
Menurut Michelle, pihaknya turut mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai sebahagian daripada projek naik taraf bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap parkir haram.
Katanya, pihak polis memaklumkan banyak kenderaan diletakkan di bahu jalan dari kawasan sekolah hingga ke pejabat pos terutama pada Isnin dan Jumaat antara jam 2 hingga 3 petang sehingga menjejaskan trafik di bulatan berkenaan.
“Difahamkan saman masih dikeluarkan secara manual, jadi ia menyukarkan pihak polis mengambil tindakan kerana sebahagian kenderaan sempat beredar selepas menyedari kehadiran polis,” katanya.

Michelle berkata sistem CCTV AI itu membolehkan pemantauan dilakukan secara masa nyata selain mengesan kenderaan yang berhenti terlalu lama di lokasi tertentu.
“Contohnya kalau sebuah kereta berhenti lebih tiga minit, sistem akan menganggap ia parkir. AI itu boleh membaca nombor pendaftaran kenderaan dan merekodkan masa kesalahan berlaku,” katanya.
Menurut beliau, rakaman kesalahan itu kemudiannya akan disalurkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dalam perkembangan sama, Michelle berkata MBSJ menetapkan syarat setiap pokok yang ditebang bagi kerja naik taraf perlu diganti dengan penanaman 10 pokok baharu bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.








