SHAH ALAM, 24 MEI: Seramai 21 penduduk sekitar DUN Sijangkang menerima bantuan bakul makanan menerusi program yang diadakan di Dewan Serbaguna Kuil Sri Maha Mariamman, Telok Panglima Garang, semalam.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting Papparaidu Veraman berkata program itu merupakan antara usaha membantu golongan memerlukan selain memastikan kebajikan masyarakat terus diberi perhatian.
"Bantuan yang disalurkan diharap dapat meringankan sedikit beban penerima dalam memenuhi keperluan harian mereka," katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata program berkenaan turut dihadiri Penyelaras DUN Sijangkang Datuk Zurihan Yusop, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Zon 8 Elisha Samson, Ketua Komuniti India (KKI) DUN Sijangkang Murugan Gunasegaran, ketua kampung serta ahli majlis MPKL.
Papparaidu turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan kuil dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
"Semoga semangat kebersamaan, perpaduan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan terus diperkukuhkan demi kesejahteraan masyarakat di DUN Sijangkang," katanya.











