SHAH ALAM, 19 OGOS: Isu kemudahan dan pengurusan kawasan Bandar Mahkota, Banting sedang diperhalusi bagi mencari penyelesaian yang dapat menjamin keselamatan serta kepentingan penduduk dan peniaga setempat.
Ahli Dewan Negeri Banting, Papparaidu Veraman berkata beberapa cadangan berkaitan kemudahan di kawasan berkenaan sedang diteliti bersama pihak berkaitan, termasuk penggunaan Rezab FT31 Jabatan Kerja Raya (JKR) dan lorong belakang kedai di kawasan komersial Bandar Mahkota.
Katanya, cadangan berkaitan penyerahan Kolam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta kawasan lapang Bandar Mahkota turut dibincangkan bagi mendapatkan penyelesaian yang sesuai.
“Perbincangan ini adalah bagi memastikan setiap cadangan diteliti dari aspek teknikal, keselamatan, pengurusan serta kepentingan penduduk dan peniaga setempat.
“Kerjasama ini amat diperlukan supaya jalan penyelesaian yang dipersetujui dapat dilaksanakan dengan teratur,” katanya menerusi Facebook.
Perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan Papparaidu bersama pihak Horizon Development, JKR dan JPS.
Mesyuarat berkenaan turut disertai pimpinan masyarakat sekitar DUN Banting termasuk Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Ketua Kampung, Pengurus Pusat Khidmat DUN Banting serta pegawai berkaitan.
Papparaidu berkata penglibatan wakil masyarakat penting bagi memastikan pandangan serta keperluan penduduk setempat dapat dibawa terus kepada pihak berkaitan untuk diteliti.
“Setiap isu yang menyentuh kepentingan rakyat perlu diberi perhatian dan tindakan sewajarnya, dan perkara ini akan terus dibawa ke meja perbincangan untuk penyelesaian terbaik bersama semua pihak yang berkaitan,” katanya.







