KUALA LANGAT, 15 OGOS: Lebih 100 penduduk sekitar Banting menyemarakkan Bulan Kebangsaan menerusi program Semarak Merdeka: Hike Bukit Jugra yang berlangsung 6.30 pagi tadi.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting, Papparaidu Veraman berkata program itu bukan sahaja bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme, malah menjadi wadah memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Dalam perjalanan menuju ke puncak Bukit Jugra, saya turut berkesempatan melihat sendiri pelbagai tinggalan sejarah dan binaan warisan yang terdapat di kawasan ini, antaranya Kompleks Makam Diraja Sultan Abdul Samad, Rumah Api Bukit Jugra serta kawasan bersejarah sekitar Jugra.
“Keunikan warisan ini mengingatkan kita bahawa Bukit Jugra bukan sahaja menjadi lokasi rekreasi, malah mempunyai nilai sejarah yang begitu penting dalam perkembangan dan sejarah Negeri Selangor,” katanya menerusi Facebook.

Program pendakian itu merupakan inisiatif bersama Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Zon 14, Pegawai Belia dan Sukan (PeBS) Zon 14, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Manggis serta JPKK Kampung Sri Cheeding.
Pendakian itu turut disertai Pegawai Daerah dan Tanah Kuala Langat, YM Tengku Rohana Tengku Nawawi, selain pemimpin masyarakat, ketua kampung dan Pegawai Penyelaras DUN Morib.
Papparaidu turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang berjaya menamatkan pendakian, sambil menyifatkan semangat kebersamaan dan perpaduan yang ditunjukkan sebagai nilai yang perlu terus dipupuk dalam masyarakat.

“Tahniah kepada semua peserta yang berjaya menamatkan pendakian. Semangat kebersamaan, kekitaan dan perpaduan seperti inilah yang perlu terus kita suburkan dalam masyarakat kita yang penuh rencam dan berbilang latar belakang,” katanya.
Beliau turut berharap kepelbagaian dalam masyarakat terus diraikan, selain menggalakkan rakyat berdiri bersama sebagai satu masyarakat yang saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain.








