Jom Ngopi Bersama ADN Banting himpun 400 penduduk pelbagai kaum

23 Jul 2026, 2:00 AM
Jom Ngopi Bersama ADN Banting himpun 400 penduduk pelbagai kaum

BANTING, 23 JULAI: Kira-kira 400 penduduk menghadiri program Jom Ngopi Bersama ADN Banting di Taman Bakti Kampung Sungai Manggis di sini, yang menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dalam usaha mengukuhkan hubungan komuniti.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting, V Papparaidu berkata program itu merupakan siri ketiga yang dianjurkan mengikut kawasan ahli majlis dalam DUN Banting.

Beliau berkata Kampung Sungai Manggis dipilih kerana menjadi penempatan masyarakat Melayu, Cina, India dan Orang Asli, selain kedudukannya yang menghubungkan beberapa kampung berhampiran.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu merangkap ADN Banting mengagihkan buah durian kepada penduduk dalam program jom ngopi bersama adn Banting di Kampung Sungai Manggis, Banting pada 16 Julai 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

"Program seperti ini memberi ruang kepada penduduk berinteraksi dengan pemimpin setempat dalam suasana santai, di samping mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum," katanya.

Menurutnya, sebanyak 400 biji durian diagihkan kepada keluarga yang hadir, selain buah manggis dan rambutan, manakala pengunjung turut disajikan nasi lemak dan roti canai.

Dalam pada itu, Papparaidu berkata beliau turut meninjau gelanggang futsal yang dibina di kawasan berkenaan dan kini dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan belia.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu merangkap ADN Banting bersalaman bersama penduduk ketika hadir dalam program jom ngopi bersama adn Banting di Kampung Sungai Manggis, Banting pada 16 Julai 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Katanya, kemudahan itu disediakan bagi menggalakkan belia menyertai aktiviti sihat serta mengukuhkan perpaduan melalui penggunaan bersama oleh masyarakat pelbagai kaum.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ketua kampung, Jawatankuasa Rukun Tetangga (KRT), ahli majlis, Pegawai Penyelaras DUN Banting, sukarelawan serta semua pihak yang menjayakan program berkenaan.

Program Jom Ngopi Bersama ADUN Banting akan diteruskan secara berkala sebagai platform mendekatkan pemimpin dengan masyarakat serta memperkukuh perpaduan di kawasan DUN Banting.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.