SHAH ALAM, 7 OGOS: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) telah dilaksanakan di 732 lokasi di seluruh Selangor sehingga Julai tahun ini, merangkumi 72 peratus daripada sasaran keseluruhan 779 lokasi yang ditetapkan menjelang akhir 2026.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan program itu memberi manfaat kepada 197,750 pembeli, melibatkan kira-kira 779,000 isi rumah, khususnya golongan rentan dan berpendapatan rendah (B40).
"Bagi memastikan kelangsungan pelaksanaan JER, Kerajaan Negeri telah menyalurkan RM9.4 juta atau 94 peratus daripada peruntukan keseluruhan RM10 juta kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) selaku agensi pelaksana.
"Kerajaan Negeri yakin pelaksanaan JER akan terus diperluas bagi mencapai sasaran yang ditetapkan menjelang akhir 2026," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron, yang ingin mengetahui status pelaksanaan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Kerajaan Negeri memperuntukkan RM355.06 juta menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dan Fasa 2 bagi mendepani kesan krisis bekalan susulan konflik di Asia Barat.
Daripada jumlah itu, RM145.8 juta diperuntukkan bagi Fasa 1 yang sedang dilaksanakan menerusi tujuh inisiatif, manakala RM209.26 juta lagi disalurkan untuk Fasa 2 yang merangkumi 15 inisiatif baharu.
Sebelum ini, Amirudin memaklumkan sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan JER 2026 menerusi PKPS yang akan diadakan sebulan sekali di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Selangor.
Menurutnya, peruntukan itu adalah tambahan kepada RM5 juta yang telah disediakan sebelum ini, menjadikan keseluruhan peruntukan JER 2026 berjumlah RM10 juta







