Terokai lokasi percutian tersembunyi di Selangor

23 Mei 2026, 7:00 AM
Terokai lokasi percutian tersembunyi di Selangor
Terokai lokasi percutian tersembunyi di Selangor
Terokai lokasi percutian tersembunyi di Selangor
Terokai lokasi percutian tersembunyi di Selangor
Terokai lokasi percutian tersembunyi di Selangor

Foto HAFIZ OTHMAN, HARUN TAJUDIN, FIKRI YUSOF & MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN

Sempena cuti sekolah, ramai ibu bapa mencari lokasi santai yang mudah dikunjungi, mesra keluarga dan tidak memerlukan perancangan rumit untuk meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak.

Jika mahu lari seketika daripada hiruk-pikuk bandar tanpa perlu keluar jauh dari Selangor, negeri ini sebenarnya menyimpan pelbagai lokasi pelancong yang belum ramai tahu.

Daripada perkampungan nelayan tradisional, hamparan sawah menghijau, tasik indah hinggalah pekan bersejarah, Selangor menawarkan aneka destinasi menarik untuk percutian singkat hujung minggu atau sepanjang cuti sekolah.

Lebih menarik, kebanyakannya bukan sahaja mudah diakses, bahkan menawarkan pengalaman santai, edukatif dan sesuai seisi keluarga. Berikut antara destinasi wajib terjah untuk kalendar cuti sekolah kali ini.

Pulau Ketam, Klang

Terletak kira-kira 30 hingga 40 minit menaiki feri dari Terminal Penumpang Port Klang. Pulau Ketam menawarkan pengalaman unik perkampungan nelayan tradisional yang dikelilingi hutan paya bakau.

Pulau ini terkenal dengan rumah-rumah atas air, laluan pejalan kaki bertiang dan persekitaran desa yang tenang tanpa kehadiran kereta dan basikal sebagai pengangkutan utama penduduk dan pelancong.

Selain menikmati makanan laut segar, pengunjung juga boleh meneroka kampung dengan berjalan kaki atau berbasikal sambil meninjau kehidupan harian masyarakat nelayan yang wujud sejak akhir abad ke-19.

Tasik Biru Kundang, Rawang

Bekas kawasan perlombongan bijih timah kini berubah menjadi lokasi riadah popular di Rawang. Tasik Biru Kundang terkenal dengan air kebiruan dan panorama tasik sesuai untuk bersantai bersama keluarga seperti berkelah, berjoging dan bergambar.

Lokasi ini pilihan penggemar sukan air seperti jet ski dan kayak selain disenarai sebagai salah satu geotapak dalam Gombak-Hulu Langat Geopark.

Rawang Bypass, Rawang

Bukan sekadar laluan alternatif mengurangkan kesesakan trafik, Rawang Bypass kini antara lokasi ikonik untuk pencinta fotografi.

Jambatan bertingkat sepanjang 2.7 kilometer pada ketinggian lebih 58 meter menawarkan suasana menarik pada waktu pagi apabila kabus tebal menyelubungi kawasan sehingga digelar laluan ‘membelah awan’.

Ia turut diiktiraf sebagai projek kejuruteraan yang mengekalkan elemen alam sekitar kerana dibina berhampiran hutan simpan dengan dampak minimum terhadap ekosistem.

Sekinchan, Sabak Bernam

Jika anda mahukan pemandangan sawah terbentang luas, Sekinchan destinasi wajib dikunjungi. Terkenal sebagai antara kawasan pengeluaran padi utama negara, ia menawarkan panorama sawah menghijau ketika musim menanam dan bertukar keemasan semasa musim menuai.

Pengunjung juga boleh singgah ke Pantai Redang untuk menikmati hembusan bayu laut dan pemandangan matahari terbenam selain menyaksikan kegiatan harian di perkampungan nelayan yang menjadi nadi ekonomi setempat.

Pekan Batu Arang, Gombak

Bagi penggemar sejarah, Pekan Batu Arang menawarkan perjalanan menelusuri warisan perlombongan arang batu negara. Bandar kecil ini diasaskan sekitar 1911 selepas penemuan arang batu dan pernah menjadi antara pusat perlombongan penting di Tanah Melayu.

Kini, kesan tinggalan sejarah seperti struktur lama, terowong lombong dan bangunan warisan masih boleh ditemui, menjadikannya lokasi sesuai untuk fotografi dan eksplorasi sejarah. Pekan ini turut diiktiraf sebagai bandar warisan pada 2011.

Muzium dan lokasi bersejarah, Klang

Sebagai Bandar Diraja Selangor, Klang kaya nilai sejarah dan warisan budaya yang terpelihara. Lokasi yang boleh dikunjungi antaranya Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz yang memapar sejarah Kesultanan Selangor selain aneka bangunan lama di sekitarnya yang menjadi sebahagian laluan warisan Klang.

Pengunjung juga boleh berjalan di sekitar pusat bandar lama sambil menghayati seni bina kolonial dan kepelbagaian budaya yang menjadikan Klang unik hingga ke hari ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.