Bawa anak bercuti sambil timba ilmu

25 Ogos 2026, 5:00 AM
Bawa anak bercuti sambil timba ilmu
Bawa anak bercuti sambil timba ilmu
Bawa anak bercuti sambil timba ilmu
Bawa anak bercuti sambil timba ilmu

Tourism Selangor memperkenal pelbagai pakej pelancongan mesra keluarga sempena cuti sekolah tidak lama lagi, termasuk percutian hujung minggu dan pelancongan pendidikan.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata trend pelancongan kini beralih kepada pelancongan berasaskan pengalaman apabila ibu bapa lebih menggemari aktiviti yang menyeronokkan dan menambah pengetahuan.

Menurut Chua Yee Ling, lokasi seperti Farm Fresh @ UPM, Serdang dan Farm In The City membantu pengunjung beriadah sambil memperoleh ilmu berkaitan agropelancongan.

"Daripada segi pakej, kita nampak trend lebih kepada pelancongan berasaskan pengalaman. Ibu bapa juga mencari pakej untuk anak-anak bagi menggalakkan pelancongan pendidikan (edu-tourism).

"Sebagai contoh, di Selangor kita ada Farm Fresh dan Farm in the City yang boleh menjadi lokasi keluarga meluangkan masa sambil belajar berkaitan agropelancongan," katanya.

Menurutnya, Selangor yang ada sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) turut menawarkan pelbagai pakej unik berdasarkan kelebihan dan tarikan setiap kawasan.

Sebagai contoh, katanya, Klang menawarkan Royal Town Heritage Tour yang mengetengah sejarah dan warisan Bandar Diraja, memberi peluang kepada pelancong mengenali destinasi itu lebih dekat.

Yee Ling berkata kemudahan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) pula memudahkan pelancong meneroka pelbagai lokasi kepada produk pelancongan negeri.

Katanya, Selangor memiliki kekuatan untuk menawarkan lokasi percutian hujung minggu kepada penduduk tempatan, bukan hanya destinasi pelancongan ketika cuti sekolah.

"Kita tidak galakkan bercuti hanya ketika cuti sekolah sahaja. Kekuatan kita di Selangor boleh bercuti pada hujung minggu. Tidak perlu pergi jauh, bercuti di Selangor sahaja," katanya.

Selain itu, Yee Ling berkata pihaknya juga berusaha memperkukuh produk inap desa di sekitar negeri ini antaranya Kuala Selangor, Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Hulu Langat.

"Kita dengan kerjasama PBT sedang berusaha memutihkan inap desa bagi memastikan penginapan yang ditawarkan berlesen, berkualiti serta selamat untuk pengunjung," katanya.

Sekichan

Aneka tarikan galak pelancong tinggal lebih lama

Selangor mempelbagai produk baharu yang memberi tumpuan kepada pengalaman pelancong seterusnya menggalakkan mereka tinggal lebih lama dan meneroka pelbagai destinasi di setiap daerah.

Usaha memperkaya produk diterjemah melalui pelancaran TourScape@Selangor, inisiatif yang menawarkan pengalaman kembara jalan raya merentasi 12 lokasi terpilih.

Melalui konsep Road Trip Fun Maps, pelawat berpeluang menikmati pengalaman berbeza di setiap daerah sambil menikmati makanan tempatan serta mengenali budaya dan warisan setempat.

EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim memberitahu inisiatif itu sebahagian usaha memperluas tawaran pelancongan Selangor yang menghubungkan masyarakat, destinasi dan produk tempatan.

"Kita akan kembangkan ke semua daerah di Selangor dan pihak berkuasa tempatan. Ini dapat menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2026," katanya.

Malah, Kerajaan Negeri merancang membangunkan Tapak Kapal Korek Sri Banting di Dengkil sebagai taman rekreasi awam dan destinasi pelancongan baharu.

Ia menggabungkan elemen pemuliharaan warisan, pendidikan dan rekreasi bagi mewujudkan data tarikan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Selain produk di darat, Selangor juga memberi tumpuan kepada industri kapal persiaran yang berpotensi besar untuk menjana ekonomi negeri.

Tourism Selangor menyasarkan Pelabuhan Klang Cruise Terminal (PKCT) dinaik taraf daripada pelabuhan persinggahan kepada pelabuhan induk, sekali gus pelancong boleh memulakan dan menamatkan pelayaran mereka di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berkata status itu mampu memberi impak ekonomi lebih besar kerana pelancong lazimnya menginap, membeli-belah dan menggunakan pelbagai perkhidmatan sebelum atau selepas pelayaran.

"Sebuah kapal persiaran besar mampu membawa antara 2,000 hingga 5,000 penumpang. Jika hanya 10 hingga 30 peratus daripada mereka turun ke darat, jumlah pelancong yang diterima sudah menyamai ketibaan puluhan penerbangan," katanya.

Usaha memperkukuh sektor tersebut turut diperkasa apabila SeaTrade Cruise Asia 2026 memilih Malaysia sebagai tuan rumah buat kali pertama.

Persidangan yang menghimpunkan lebih 600 pemain industri kapal persiaran dunia itu membuka peluang kepada Selangor mempromosi potensi pelancongannya di peringkat antarabangsa.

pantai

Pantai Bumi Hijau at Sungai Haji Dorani in Sabak Bernam.

Selangor turut memanfaatkan penganjuran acara skala besar temasya Sukan Malasyai (SUKMA) 2026 yang memberi limpahan ekonomi kepada pengusaha hotel, inap desa, restoran, pengangkutan dan perusahaan kecil di seluruh negeri.

"Bila kita anjurkan kejohanan sukan, ekosistem dan masyarakat luar akan dapat manfaat," kata EXCO Pembangunan Sukan Najwan Halimi.

Pada masa sama, kepulangan Formula 1 ke Litar Antarabangsa Sepang dijangka membantu meningkatkan ketibaan pelancong serta memperkenal pelbagai produk pelancongan negeri kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

Pendekatan itu bukan sahaja mengukuhkan daya saing negeri sebagai destinasi pilihan, malah memastikan manfaat ekonomi pelancongan terus dirasai oleh masyarakat dan usahawan tempatan.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.