SHAH ALAM, 19 MEI: Kekuatan akar umbi serta semangat perjuangan rakyat terus menjadi tunjang utama yang membolehkan Pakatan Harapan (HARAPAN) kekal relevan dan bertahan dalam landskap politik negara yang sentiasa berubah.
Pengerusi HARAPAN Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pengalaman panjang membina gabungan itu sejak puluhan tahun lalu memberi kelebihan besar melalui jaringan akar umbi yang kukuh di seluruh negara.
Menurutnya, setiap perkembangan dan dinamika politik semasa perlu diteliti secara menyeluruh tanpa memandang ringan sebarang kemungkinan yang boleh memberi kesan kepada parti.
“Apa pun dinamika politik perlu diteliti semua pimpinan dan kita akan mengambil kira semua aspek tanpa memandang mudah sebarang perkara.
“Baik lawan, kawan ataupun elemen baharu seperti parti yang disertai saudara Rafizi dan Nik Nazmi, kita akan melihat kesannya. Namun pengalaman membangunkan parti bukan sesuatu yang mudah,” katanya kepada media selepas melancarkan kempen Pencegahan Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi Peringkat Selangor 2026 di Kelab Shah Alam, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata HARAPAN akan terus memperkukuh strategi serta memperkemas gerak kerja menjelang pilihan raya akan datang bagi memastikan keyakinan rakyat kekal utuh.
“Kita percaya dengan pengalaman puluhan tahun Pakatan Harapan, kita mempunyai jaringan dan kekuatan akar umbi selain pendekatan strategi yang tepat apabila tiba waktu pilihan raya nanti.
“Sebab itu kita perlu terus bekerja keras, tidak memandang rendah semua aspek dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” ujarnya.
Mengulas isu disiplin parti, beliau menegaskan mana-mana pimpinan atau ahli yang memilih untuk tidak lagi setia serta mengambil tindakan yang melemahkan organisasi perlu bertanggungjawab terhadap keputusan masing-masing.
“Kalau ada pihak yang tidak lagi setia kepada parti ataupun mengambil tindakan yang merosakkan dan mengurangkan kekuatan parti, mereka perlu bertanggungjawab.
“Parti inilah yang menaikkan anda, memberi ruang untuk berkempen, menjadi pimpinan dan membawa pendirian parti. Jadi, setiap pemimpin perlu bertanggungjawab serta bermaruah,” katanya.
Beliau turut mengulas desakan supaya Ahli Parlimen Ampang dan Petaling Jaya mengosongkan kerusi masing-masing susulan kehadiran mereka ke program pengumuman melibatkan kempen Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.
Dalam masa sama, Amirudin berkata beliau sendiri memilih untuk kekal bersama parti meskipun pernah berdepan tekanan politik sebelum ini.
“Saya antara individu yang menjadi sasaran ketika Langkah Sheraton tetapi saya membuat keputusan tegas untuk kekal bersama parti bersama ramai pimpinan lain.
“Dalam keadaan seperti itu, kita perlu membuat keputusan yang tepat dan bukan bermain-main kerana parti ini ditubuhkan dengan semangat perjuangan rakyat yang membara serta melalui perjalanan yang sangat panjang,” tambahnya.
Menurut beliau lagi, HARAPAN pernah melalui pelbagai cabaran termasuk kehilangan beberapa pimpinan utama, namun tetap bertahan hasil kekuatan organisasi serta sokongan akar umbi.
“Kita pernah melalui pelbagai cabaran dan kehilangan pimpinan utama, namun kerana kekuatan itulah kita mampu bertahan malah menjadi antara parti induk dalam kerajaan hari ini,” katanya.








