Kerajaan Selangor terbuka teliti kerjasama politik demi kestabilan rakyat negeri

27 Ogos 2026, 2:58 AM
Kerajaan Selangor terbuka teliti kerjasama politik demi kestabilan rakyat negeri

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri bawah pimpinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari tidak mempunyai sebarang masalah untuk memperhalusi apa juga bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak yang benar-benar ikhlas mahu menyumbang kepada kestabilan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Saifuddin Shafi Muhammad berkata namun keutamaan Kerajaan Negeri sekarang adalah untuk terus mentadbir, bekerja dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Saya mengambil maklum perkembangan politik semasa termasuk kenyataan Ketua Pemuda BERSATU, Muhammad Hilman Idham berhubung kemungkinan kerjasama politik di Selangor serta di Pahang melibatkan sokongan dua wakil rakyat BERSATU terhadap kepimpinan Menteri Besar Pahang.

“Kerajaan Selangor di bawah pimpinan Dato’ Menteri Besar tidak mempunyai sebarang masalah untuk memperhalusi apa juga bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak yang benar-benar ikhlas mahu menyumbang kepada kestabilan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Pintu Kerajaan Negeri sentiasa terbuka. Namun, apa juga bentuk persefahaman atau kerjasama mestilah mempunyai titik pertemuan yang jelas, dibina atas keikhlasan dan akhirnya memberi manfaat secara langsung kepada rakyat Selangor, khususnya masyarakat di kawasan DUN yang terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Saifuddin menjelaskan agar semua pihak perlu mengelakkan daripada membuat spekulasi terlalu awal mengenai sebarang penjajaran atau pembentukan gabungan politik baharu melibatkan Pakatan Harapan di Selangor.

Katanya, Dato’ Menteri Besar sebelum ini telah menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak berdasarkan kestabilan politik dan kepentingan rakyat, namun pada masa ini belum ada sebarang perbincangan serius atau rasmi mengenai perkara tersebut.

“Keutamaan Kerajaan Negeri sekarang ialah untuk terus mentadbir, bekerja dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Perhatian harus diberikan kepada persediaan Belanjawan Selangor 2027.

“Belanjawan ini jauh lebih penting untuk rakyat kerana ia akan menentukan hala tuju pembangunan negeri, program kesejahteraan rakyat serta keutamaan pentadbiran Selangor bagi tahun hadapan.

“Politik boleh terus dibincangkan pada waktunya. Hari ini, rakyat mahu kerajaan bekerja, menyelesaikan masalah mereka dan memastikan pembangunan negeri terus bergerak,” jelasnya.

Tambahnya, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mahu bersama-sama mendukung agenda tersebut dengan ikhlas, pintu sentiasa terbuka untuk berbincang.

Mengulas situasi politik di Pahang, Saifuddin memaklumkan, sokongan ditunjukkan dua wakil rakyat itu menunjukkan bahawa dalam politik, perbezaan parti tidak semestinya menjadi penghalang kepada satu persefahaman sekiranya kepentingan rakyat dan kestabilan pentadbiran diletakkan sebagai keutamaan.

“Pucuk pimpinan BERSATU merestui sokongan dua Ahli Dewan Negeri (ADN) membuktikan bahawa ruang kerjasama merentasi garis politik sentiasa boleh diterokai apabila wujud asas dan matlamat yang jelas,” katanya lagi.

Semalam, ADN Kuala Sentul, Dato’ Jasri Jamaluddin dan ADN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus mengumumkan terus beri sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Menerusi kenyataan, pendirian itu telah dipersetujui pucuk pimpinan parti BERSATU dengan mengambil kira keperluan untuk menjamin kestabilan politik di Pahang dan memelihara kebajikan rakyat di kedua-dua DUN tersebut.

Susulan itu, Muhammad Hilman berkata situasi sama boleh berlaku di Selangor yang mana tidak menolak kemungkinan dua ADN BERSATU akan menyokong pentadbiran Amirudin hingga tamat penggal.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.