Siasatan kes hina institusi diraja perlu teliti, segera elak pendakwaan cacat - MB

19 Mei 2026, 6:55 AM
Siasatan kes hina institusi diraja perlu teliti, segera elak pendakwaan cacat - MB

SHAH ALAM, 19 MEI: Siasatan terhadap kes penghinaan institusi diraja perlu dilakukan secara menyeluruh dan terperinci bagi memastikan sebarang tindakan pendakwaan tidak terjejas atau menjadi cacat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pada masa sama, siasatan juga perlu dipercepatkan bagi mengelakkan timbulnya spekulasi serta suasana tidak sihat dalam kalangan masyarakat.

Katanya, pendirian Kerajaan Persekutuan termasuk Kerajaan Negeri Selangor kekal konsisten menolak sebarang bentuk penghinaan terhadap institusi raja, khususnya melibatkan isu agama, kaum dan raja (3R).

“Saya dah minta kenyataan jelas bahawa penghinaan terhadap institusi raja dalam isu 3R dan sebagainya itu konsisten dengan pendirian Kerajaan Persekutuan termasuk Negeri Selangor.

“Ini satu perbuatan yang mengganggu institusi, mencemarkan kemuliaan raja-raja dan wajar untuk diambil tindakan yang serius dan segera,” katanya kepada media selepas melancarkan Kempen Pencegahan Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi Peringkat Negeri Selangor 2026 di Kelab Shah Alam, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata urusan pendakwaan terletak di bawah bidang kuasa Peguam Negara dan memerlukan penelitian rapi sebelum sebarang tindakan diambil.

Katanya, ketelitian dalam proses siasatan penting bagi memastikan pendakwaan berasaskan fakta dan bukti lengkap, sekali gus mengelakkan kelemahan dalam kes mahkamah.

“Itu di bawah pihak Peguam Negara. Mungkin siasatan memerlukan maklumat ataupun penelitian yang lebih mendalam kerana pendakwaan tanpa maklumat lengkap boleh menyebabkan kes menjadi cacat.

“Tetapi tindakan perlu dipercepat kerana kelewatan boleh menimbulkan persepsi serta keadaan yang tidak baik terhadap usaha pembinaan negara bangsa,” katanya.

Pada 6 Mei lalu, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar mengesahkan sebanyak 307 laporan polis diterima berhubung penularan satu karikatur di media sosial yang mengandungi unsur penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Daripada jumlah itu, 282 laporan berkaitan hantaran di akaun Facebook Huayan The Pureland Learning Center yang didakwa menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Selain itu, tujuh laporan diterima melibatkan akaun Facebook Beo Choon Yap, manakala 18 lagi laporan dibuat terhadap akaun Lucas Liam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.