307 laporan polis diterima berkaitan hantaran hina Sultan Selangor

6 Mei 2026, 10:59 AM
307 laporan polis diterima berkaitan hantaran hina Sultan Selangor

SHAH ALAM, 6 MEI: Sebanyak 307 laporan polis diterima berhubung penularan satu karikatur di media sosial yang mengandungi unsur penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Selangor Royal Office menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan perkara itu disembah maklum kepada Baginda oleh Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar.

“Daripada jumlah berkenaan, 282 laporan polis adalah berkaitan hantaran di akaun Facebook Huayan The Pureland Learning Center yang didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap Sultan Selangor.

“Selain itu, tujuh laporan turut diterima berhubung hantaran di akaun Facebook Beo Choon Yap manakala 18 lagi laporan dibuat terhadap akaun Lucas Liam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Selangor Royal Office, setakat ini satu tangkapan telah dibuat di Pulau Pinang bagi membantu siasatan, manakala polis giat menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

Penularan bahan penghinaan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan isu penternakan babi di Selangor yang dibangkitkan dalam Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 baru-baru ini.

Terdahulu, Shazeli memaklumkan pihak polis menerima sebanyak 280 laporan setakat 3 Mei lalu berhubung penularan bahan penghinaan itu di media sosial pada 25 April lalu.

Beliau berkata laporan itu dibuat pelbagai pihak dari seluruh negara susulan tindakan provokasi melampau yang memaparkan imej seekor babi memakai pakaian diraja berwarna kuning dengan niat menghina Sultan Selangor.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari, EXCO Kerajaan Negeri serta badan bukan kerajaan tampil menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam penyebaran hantaran berunsur penghinaan itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.