Insiden Putra Heights: Laporan semakan siap, Selangor mahu dedah kepada umum

16 Mei 2026, 11:53 AM
Insiden Putra Heights: Laporan semakan siap, Selangor mahu dedah kepada umum

JOHOR BAHRU, 16 MEI: Kerajaan Selangor sudah menerima laporan semakan siasatan insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya yang dijalankan oleh lapan ahli jawatankuasa bebas yang dilantik.

Dato’ Menteri Besar berkata laporan berkenaan, yang disediakan oleh jawatankuasa terdiri daripada pakar teknikal, ahli akademik dan profesional industri berkaitan, turut membentangkan dapatan siasatan kepada pentadbiran negeri.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, laporan sama turut diserahkan kepada kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan maklum balas memandangkan insiden berkenaan turut melibatkan beberapa agensi kerajaan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis Jerayawara Siswa Kita Selangor Zon Selatan di Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia Johor Bahru pada 16 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Harapan kita supaya penemuan ini dapat diumum kepada awam dan dijadikan rujukan untuk hari ini dan masa depan. Mungkin ada tindakan yang boleh diambil setiap pihak terlibat sama ada pihak berkuasa tempatan atau pemilik paip.

“Ini supaya kita ada jaminan keselamatan terhadap Putra Heights atau semua jajaran paip gas seluruh Selangor,” katanya selepas merasmikan program Jerayawara Siswa Kita Selangor Zon Selatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Dato' Menteri Besar Dato'Seri Amirudin Shari melakukan gimik pelancaran Majlis Mahasiswa Selangor (MASEL) UTM sempena majlis Jerayawara Siswa Kita Selangor Zon Selatan di Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia Johor Bahru pada 16 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Pada September tahun lalu, Kerajaan Selangor melantik jawatankuasa bebas yang diketuai Felo Penyelidik Kanan Disaster Preparedness and Prevention Center (DPPC), Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Dr Khamarrul Azahari Razak bagi menyiasat insiden letupan itu.

EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi berkata penubuhan jawatankuasa itu selaras dengan komitmen negeri untuk memastikan ketelusan serta menjadikan keselamatan awam sebagai keutamaan dalam menangani insiden melibatkan infrastruktur kritikal.

Insiden pada 1 April tahun lalu itu mengakibatkan 81 rumah musnah dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 terjejas tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.