SHAH ALAM, 18 MEI: Lelaki yang disyaki menikam seorang wanita di hadapan restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas dekat Alor Setar direman selama tujuh hari sehingga 24 Mei ini bagi membantu siasatan.
Perintah reman terhadap suspek berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Noor Shifa Mohd Hamzah mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Suspek tiba di lokap Mahkamah Majistret Alor Setar kira-kira jam 8.20 pagi dengan menaiki kenderaan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, suspek ditahan di kawasan masjid di Taman Uda, Lebuhraya Sultanah Bahiyah pada jam 1.50 pagi tadi.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita berusia 35 tahun cedera parah di bahagian leher selepas dipercayai ditikam lelaki yang dikenalinya dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.19 malam itu, mangsa dipercayai ditikam di bahagian kanan leher ketika berada di dalam sebuah kereta jenis Mazda miliknya.
Kedua-duanya dipercayai saling mengenali kerana menaiki kenderaan yang sama dan masing-masing bekerja sebagai ejen hartanah, namun sejauh mana hubungan mereka masih belum dapat dipastikan.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk menerima rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.







