Suspek tikam wanita dalam kereta di hadapan restoran berjaya ditahan

18 Mei 2026, 12:29 AM
Suspek tikam wanita dalam kereta di hadapan restoran berjaya ditahan

SHAH ALAM, 18 MEI: Lelaki yang melarikan diri selepas menikam seorang wanita di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah dekat Alor Setar malam tadi berjaya diberkas polis awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, suspek berusia 32 tahun itu dijangka direman hari ini bagi membantu siasatan.

"Ya. Suspek sudah berjaya ditangkap dan akan direman hari ini," katanya seperti dilapor BH.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita berusia 35 tahun cedera selepas ditikam di bahagian kanan leher oleh seorang lelaki yang dikenalinya dalam kejadian di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai berada di tempat duduk pemandu manakala suspek duduk di bahagian penumpang hadapan sebelum lelaki itu bertindak menikam wanita berkenaan dan melarikan diri dari lokasi kejadian.

Suspek dan mangsa dipercayai saling mengenali kerana menaiki kenderaan yang sama dan masing-masing bekerja sebagai ejen hartanah, namun sejauh mana hubungan mereka masih belum dapat dipastikan.

Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk menerima rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.