SHAH ALAM, 1 MEI: Keluarga mangsa bunuh di Ketereh masih terkejut dan sukar menerima kehilangan gadis itu yang baru seminggu kembali ke kolej.
Abang sulung mangsa, Muhammad Faris Zulkifly, 21, berkata mereka hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak polis sebelum segera bergegas ke Kelantan dari Kuala Kangsar, Perak.
“Kami hanya tahu adik sudah meninggal dunia dan tidak tahu secara terperinci.
“Dalam perjalanan di Jeli, baru kami tahu kejadian menimpa adik selepas melihat maklumat yang tersebar di media sosial,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini pada Jumaat seperti dilapor Sinar Harian.
Menurutnya, kali terakhir mereka bertemu adalah ketika mangsa pulang bercuti semester sebelum kembali ke kolej untuk menyambung pengajian.
“Masa itu tak ada perubahan pun, dia ada cakap nak makan macam-macam antaranya ayam penyet.
“Arwah juga beritahu nak beli sebuah kereta Mini Cooper selepas tamat pengajiannya dalam jurusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak,” katanya.
Mangsa yang merupakan anak kedua daripada empat beradik dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga itu baru memasuki semester ketiga di Kolej Poly-Tech Mara.
“Kami harap pelaku dapat ditangkap secepat mungkin dan dikenakan hukuman setimpal,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya ditinggalkan di kawasan sawah padi dan ditemui oleh penduduk kira-kira jam 12.30 tengah malam.
Hasil bedah siasat mendapati terdapat 61 kesan tikaman pada badan, leher dan muka mangsa.





