KOTA BHARU, 1 MEI: Mayat seorang wanita ditemukan dengan 61 kesan tikaman di atas jalan berhampiran kawasan sawah Kampung Simah, Ketereh di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat berkenaan pada 12.30 tengah malam.
Beliau berkata mangsa yang berusia 19 tahun berasal dari Perak dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Pemeriksaan awal oleh pasukan forensik polis mendapati terdapat sebanyak 61 kesan tikaman pada tubuh mangsa, bermula dari bahagian muka hingga ke kaki.
"Kebanyakan kecederaan tertumpu di bahagian kanan badan mangsa. Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yusoff berkata tempat kejadian merupakan kawasan sawah yang gelap dan tiada pencahayaan lampu jalan, terletak kira-kira 47 meter dari kediaman penduduk terdekat.
Beliau berkata susulan penemuan itu, bantuan Unit K9 telah digerakkan bagi tujuan pengesanan di sekitar lokasi dalam radius kira-kira 30 meter.
Katanya tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan, namun mangsa memakai rantai leher berukir nama "SYAA", seutas rantai tangan di pergelangan tangan kiri dan sebentuk cincin di jari tengah tangan kanan.
Mohd Yusoff berkata semasa ditemukan, mangsa berpakaian baju lengan panjang berwarna hitam dan memakai seluar panjang hitam.
Turut dijumpai di tempat kejadian beberapa barangan lain termasuk seutas manik berwarna-warni, cermin mata berwarna putih dan sehelai selendang berwarna belacan.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk proses bedah siasat.
"Identiti mangsa bagaimanapun telah berjaya dikenal pasti kemudiannya melalui semakan cap jari yang dilakukan oleh Jabatan Pendaftaran Negara," katanya.
Sehubungan itu, polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Ganesan di talian 012-5691204.








