Dua kali ditipu, ejen hartanah rugi lebih RM79,000

19 Okt 2026, 4:31 AM
Dua kali ditipu, ejen hartanah rugi lebih RM79,000
Dua kali ditipu, ejen hartanah rugi lebih RM79,000

SHAH ALAM, 19 OKT: Malang berganda apabila seorang ejen hartanah menjadi mangsa penipuan sindiket menyebabkannya kerugian lebih RM79,000.

Menurut sumber, lelaki berusia 60-an itu pada mulanya ditipu RM60,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan.

"Hujung tahun lalu, dia melihat iklan perkhidmatan bantuan guaman di Facebook yang boleh membantu mendapatkan semula wang itu.

"Mangsa kemudiannya menghubungi peguam terbabit untuk mengetahui kaedah bagi mendapatkan semula wangnya," katanya, lapor Harian Metro.

Sumber berkata, mangsa diberi nombor lain untuk dihubungi iaitu seorang lelaki yang akan membantunya.

"Selepas menghubungi lelaki itu, mangsa kemudiannya diminta membuat bayaran proses guaman dan urusan terbabit.

"Dia membuat pembayaran tiga kali iaitu lebih RM19,000 untuk proses mendapatkan semula wangnya," katanya.

Bagaimanapun, selepas membuat pembayaran itu sehingga sekarang mangsa masih tidak mendapat semula wang ditipu sebelum ini malah mereka meminta bayaran tambahan.

"Apabila mangsa meminta semula wang dibayar sebelum ini, mereka enggan memberinya dengan pelbagai alasan.

"Mangsa yang ditipu sekali lagi kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Presint 11 Rabu lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.