Dua lelaki ditahan bawa 690 kg daun ketum dalam Alphard

28 Sep 2026, 3:00 PM
Dua lelaki ditahan bawa 690 kg daun ketum dalam Alphard

IPOH, 28 SEPT: Dua lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai membawa 690 kilogram daun ketum bernilai RM27,600 menggunakan sebuah kenderaan mewah di Kilometer 371 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintenden Khalid Mohamad berkata kedua-dua suspek berusia 21 dan 31 tahun itu ditahan kira-kira 2 pagi oleh sepasukan anggota Peronda Lebuhraya (EMPV) Sektor 7 dan Sektor 8, Zon Utara 4, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Beliau berkata kedua-duanya dipercayai bertindak sebagai penghantar bekalan daun ketum untuk pasaran tempatan.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan jenis Toyota Alphard itu menemukan 69 bungkusan plastik hitam yang disyaki mengandungi daun ketum seberat kira-kira 690 kilogram dengan anggaran nilai pasaran RM27,600,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis turut merampas Toyota Alphard berkenaan bersama satu unit alat kawalan jauh kenderaan bagi membantu siasatan.

Khalid berkata semakan awal mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod berkaitan dadah dan lima rekod jenayah, manakala suspek kedua mempunyai dua rekod berkaitan dadah serta satu rekod jenayah.

Kedua-duanya kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

-- BERNAMA

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.