SHAH ALAM, 2 APRIL: Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di DUN Banting berpeluang menerima sumbangan sekali bayar sebagai penghargaan atas pencapaian akademik mereka.
Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting Papparaidu Veraman, program ini dianjurkan setiap tahun untuk memberi galakan kepada generasi muda supaya terus cemerlang.
"Bagi menghargai usaha dan pencapaian pelajar SPM 2025, saya meneruskan program ini seperti tahun-tahun sebelum. Pelajar cemerlang SPM akan menerima sumbangan kewangan sebagai galakan untuk terus melakar kejayaan," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata permohonan telah dibuka bagi pelajar yang memperoleh sekurang-kurangnya 9A, dengan syarat ibu, bapa atau penjaga merupakan pengundi di DUN Banting.
Pemohon dikehendaki melampirkan salinan MyKad pelajar, salinan MyKad ibu, bapa atau penjaga serta salinan keputusan SPM 2025.
Tarikh tutup permohonan adalah pada 14 April ini dan sebarang permohonan lewat tidak akan dipertimbangkan.








