PETALING JAYA, 15 MEI: Pelancaran pusat data antarabangsa pertama NEXTDC dan “AI Factory” di Petaling Jaya menjadi langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI) di Asia Tenggara.
EXCO Pelaburan, Ng Sze Han berkata pelaburan bernilai AUD$1 bilion itu bukan sahaja membangunkan infrastruktur digital moden, malah memberi manfaat besar kepada ekonomi tempatan.
Menurut beliau, sebanyak RM1 bilion daripada nilai pelaburan projek dibelanjakan dalam negara, manakala 99 peratus perbelanjaan modal projek diperoleh daripada syarikat dan pembekal tempatan di Malaysia.
“Pendekatan ini secara langsung membantu melatih dan meningkatkan kemahiran kontraktor serta pembekal tempatan dalam pembangunan infrastruktur digital berteknologi tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata pusat data berkenaan turut dibina menggunakan reka bentuk cekap tenaga dan lebih mesra alam.
Katanya, fasiliti itu mencapai kadar Power Usage Effectiveness (PUE) 1.35 selain menggunakan sistem penyejukan udara moden berbanding kaedah tradisional, sekali gus mengurangkan penggunaan sumber air tempatan.
Sze Han berkata pelancaran itu mencerminkan komitmen Selangor dalam mengimbangi kemajuan teknologi, pertumbuhan ekonomi dan penjagaan alam sekitar.
“Hari ini kita meraikan pelancaran pusat data antarabangsa pertama NEXTDC dan ‘AI Factory’ di Petaling Jaya yang menjadi platform penting untuk pembangunan AI dan pengkomputeran awan di Asia Tenggara,” katanya.








