SHAH ALAM, 14 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyita kawasan kebun haram yang dipercayai diusahakan warga asing pelarian di sebuah kawasan tanah kosong.
Perkara itu disahkan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon yang berkata pihaknya telah mengambil tindakan penguatkuasaan selepas isu itu tular di media sosial, lapor Harian Metro.
"Ya betul kawasan itu dah ditutup," katanya.
Semalam, penduduk meluahkan kekecewaan berikutan tiada tindakan tegas diambil ke atas warga asing yang seolah-olah tidak takut membuka kebun secara haram.
Sebelum ini tular beberapa keping gambar dan klip video memaparkan sebuah kawasan tanah kosong dijadikan kebun oleh sekumpulan individu dikatakan warga asing.
Pekebun haram terbabit sengaja tidak menebang pokok-pokok tinggi di sekeliling kebun supaya jika dilihat dari luar seperti kawasan belukar biasa, manakala di tengah-tengah belukar berkenaan sudah diratakan bagi tujuan bercucuk tanam dengan laluan masuk kecil di bahagian atas bukit dijadikan sebagai akses ke dalam kebun haram itu.
Sementara itu Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dilapor berkata pihak mengambil maklum berhubung isu itu dan berkata tindakan sewajarnya akan diambil.









