SHAH ALAM, 14 MEI: Mahkamah Rayuan hari ini menggantikan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bekas penuntut universiti kepada penjara 40 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan membunuh serta membakar kekasihnya yang hamil, tiga tahun lalu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun selepas membenarkan rayuan hukuman dikemukakan Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 22.
“Mengambil kira umur muda perayu sewaktu kejadian, terdapat pilihan dalam Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, jadi mahkamah dengan ini mengetepikan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi dan menggantikannya dengan hukuman penjara 40 tahun dari tarikh tangkap dan 12 kali sebatan,” katanya seperti dilapor BH.
Muhammad Fakrul Aiman ditangkap pada 23 Mei 2023.
Terdahulu, peguam Muhammad Nor Tamrin berhujah bahawa Mahkamah Tinggi Klang terkhilaf apabila menjatuhkan hukuman terlalu berat terhadap anak guamnya yang ketika kejadian berusia 20 tahun empat bulan.
“Mahkamah Tinggi sudah menjatuhkan hukuman gantung sehingga mati selepas perayu membuat pengakuan bersalah, sebelum perbicaraan bermula.
“Dalam rayuan ini, hanya terdapat satu isu saja iaitu sama ada hukuman yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Tinggi di Klang adalah satu hukuman yang terlalu berat,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob menegaskan hukuman diputuskan Mahkamah Tinggi Klang adalah setimpal dengan kekejaman jenayah dilakukan tertuduh.
“Kami berhujah sebagaimana dinyatakan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa Seksyen 293 (Kanun Tatacara Jenayah) tidak terpakai dalam kes ini kerana seksyen itu memperuntukkan bagi kesalahan dilakukan pesalah membabitkan hukuman denda atau penjara, manakala dalam kes ini, hukuman yang boleh dijatuhkan adalah hukuman mati,” katanya.
Mengikut Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan sama ada hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Bagi pesalah lelaki berusia bawah 50 tahun yang tidak dikenakan hukuman mati, hukuman turut disertai minimum 12 sebatan.
Pada 15 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Klang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Muhammad Fakrul Aiman selepas dia mengaku bersalah membunuh dan membakar Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Sabak Bernam pada 2023.
Hakim Norazlin Othman ketika membuat keputusan berkata mahkamah berpuas hati pengakuan bersalah tertuduh dibuat tanpa syarat selain mengakui fakta kes serta eksibit dikemukakan pihak pendakwaan adalah benar.
Beliau turut menyifatkan perbuatan itu sebagai jenayah kejam dan dirancang, sekali gus memerlukan hukuman berat berbanding jenayah bersifat spontan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh mangsa di Jalan Sungai Limau antara jam 8.30 malam, 22 Mei hingga 8 pagi, 23 Mei 2023 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.








