SHAH ALAM, 14 MEI: Beberapa premis makanan di sekitar Bandar Puteri dan Damai Utama, Puchong diarah tutup 14 hari selepas didapati gagal mematuhi aspek kebersihan dan keselamatan makanan dalam operasi bersepadu Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Operasi pada 7 Mei lalu itu dilaksanakan Jabatan Penguatkuasaan MBSJ dengan kerjasama Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pelesenan bagi memastikan premis perniagaan mematuhi syarat pelesenan serta undang-undang ditetapkan.
MBSJ memaklumkan pelbagai tindakan penguatkuasaan diambil sepanjang operasi termasuk pengeluaran Notis Tawaran Kompaun (NTK), sitaan barangan dan penutupan premis secara serta-merta.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat premis yang gagal mematuhi keperluan kebersihan dan keselamatan makanan.
"Antara kesalahan dikesan termasuk kehadiran lipas, keadaan premis yang kotor dan tidak memuaskan, kegagalan mengemukakan dokumen kesihatan berkaitan serta ketidakpatuhan pengendali makanan terhadap amalan kebersihan diri dan kaedah penyimpanan makanan yang selamat.
"Susulan itu, Notis Perintah Tutup dikeluarkan dan premis terlibat diarahkan tutup selama 14 hari," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam operasi sama, MBSJ turut memeriksa premis yang disyaki beroperasi tanpa lesen perniagaan sah.
“Tindakan penutupan serta-merta telah dilaksanakan terhadap premis yang gagal mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.
MBSJ berkata pihaknya akan terus mempertingkat usaha pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan aspek kebersihan, keselamatan dan pematuhan undang-undang sentiasa dipatuhi.








