SHAH ALAM, 14 MEI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan 10 kompaun menerusi Ops Terjah: Kenderaan Berat yang dilaksanakan di sekitar kawasan perumahan Pandan Indah dan Taman Watan, kelmarin.
Operasi yang dilaksanakan Jabatan Penguatkuasaan itu bertujuan memastikan pematuhan terhadap peraturan parkir selain mengatasi isu halangan awam di beberapa kawasan perumahan.
Menurut MPAJ, tindakan itu diambil dibawah Seksyen 48(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) membabitkan kesalahan halangan awam oleh kenderaan berat.
"Operasi ini dilaksanakan bagi memastikan kawasan perumahan kekal selamat, teratur dan bebas daripada halangan yang boleh menjejaskan akses penduduk, keselamatan pengguna jalan raya serta kesejahteraan komuniti," katanya menerusi Facebook.
Tambahnya, usaha berterusan itu selaras komitmen pihak berkuasa tempatan dalam mewujudkan persekitaran bandar yang berdaya huni dan selamat.
Orang ramai boleh menyalurkan aduan serta maklum balas melalui SISPAA MPAJ atau menghubungi talian bebas tol MPAJ di 1-800-22-8100.








