46 kompaun dikeluarkan dalam Ops Terjah Kenderaan Berat MPAJ

13 Dis 2025, 9:49 AM
46 kompaun dikeluarkan dalam Ops Terjah Kenderaan Berat MPAJ

SHAH ALAM, 13 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mempergiat operasi penguatkuasaan terhadap kenderaan berat yang menghalang jalan serta perniagaan tidak patuh di kawasan perumahan dan komersial bagi memastikan keselamatan penduduk dan kelancaran laluan kecemasan.

Menerusi Ops Terjah: Kenderaan Berat, MPAJ memberi tumpuan kepada parkir haram dan halangan oleh kenderaan berat yang berpotensi mengganggu pergerakan pengguna jalan raya serta akses perkhidmatan kecemasan.

Pemeriksaan dijalankan di beberapa kawasan dikenal pasti sebagai lokasi berisiko, antaranya Pandan Perdana, Taman Kosas, Ampang Indah, Kampung Tasek Tambahan dan Taman Melawati.

Sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 46 kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap pemandu kenderaan berat yang didapati menyebabkan halangan kepada orang awam.

Seksyen tersebut memperuntukkan tindakan terhadap mana-mana pemandu yang meninggalkan kenderaan di jalan raya sehingga menghalang, menyusahkan atau membahayakan pengguna lain.

MPAJ memaklumkan, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda antara RM1,000 hingga RM5,000, dipenjara sekurang-kurangnya satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan ini penting bagi memastikan jalan-jalan kejiranan kekal selamat, mudah diakses serta bebas daripada bahaya yang boleh menjejaskan pengguna jalan raya dan operasi kecemasan,” katanya seperti dilapor The Star.

Dalam operasi berasingan, MPAJ turut menjalankan pemeriksaan pematuhan terhadap pengusaha perniagaan melibatkan papan tanda iklan, premis makanan dan peraturan perdagangan am.

Hasil pemeriksaan merekodkan 18 pemeriksaan, lapan sitaan dan 10 kompaun dikeluarkan terhadap premis yang gagal mematuhi syarat ditetapkan.

Operasi itu turut menyasarkan premis kecantikan dan kesejahteraan, dengan tindakan diambil di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, termasuk pelanggaran beberapa undang-undang kecil berkaitan perlesenan dan keselamatan.

Dalam satu lagi operasi, MPAJ memfokuskan aktiviti penjaja, perlesenan perniagaan serta pematuhan pengendalian makanan, dengan lapan pemeriksaan dan enam sitaan direkodkan melibatkan premis yang beroperasi tanpa kebenaran atau menggunakan ruang awam tanpa kelulusan.

Orang awam yang mempunyai aduan atau maklum balas boleh menyalurkannya melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MPAJ atau menghubungi talian bebas tol 1-800-22-8100.