PLATS bantu lebih 7,000 peniaga sekitar Ampang Jaya jana pendapatan

11 Mei 2026, 1:01 PM
PLATS bantu lebih 7,000 peniaga sekitar Ampang Jaya jana pendapatan
PLATS bantu lebih 7,000 peniaga sekitar Ampang Jaya jana pendapatan

AMPANG JAYA, 11 MEI: Program Platform Selangor (PLATS) membantu lebih 7,000 peniaga di Ampang Jaya meningkatkan pendapatan melalui pelbagai inisiatif pendigitalan dan penjenamaan.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ts Hasrolnizam Shaari berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk pendedahan kepada pendigitalan perniagaan, penjenamaan serta penggunaan internet secara selamat bagi memperkukuh daya saing mereka.

“PLATS merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk memperkasa dan mengembangkan perniagaan mikro. Ia menjadi instrumen penting bagi membantu peniaga berkembang. Setakat ini, lebih 7,300 peniaga berdaftar dan aktif di Ampang Jaya.

“MPAJ sentiasa membangunkan masyarakat di Ampang Jaya. Selain pendekatan biasa seperti program komuniti, kita percaya melalui kerjasama dengan kumpulan sasar iaitu peniaga, mereka dapat mengembangkan lagi perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau ditemui selepas perasmian Program Kempen Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di The Campus Ampang, di sini.

Program yang turut mendapat kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menerusi PLATS itu menghimpunkan 80 usahawan.

Penganjuran program itu bagi meningkatkan kesedaran penggunaan internet secara selamat dalam kalangan peniaga.

Dalam pada itu, Hasrolnizam memaklumkan pihaknya sedang menyusun peniaga-peniaga bermusim sempena Hari Raya Aidiladha.

“Tadi kami baru bermesyuarat dan telah kenal pasti tempat-tempat terbaik dan tawarkan kepada semua golongan peniaga yang berminat dan ingin menyahut untuk perkemaskan dalam medan selera, pusat penjaja, pasar pagi, malam dan kawasan perniagaan statik.

“Kami akan hebahkan dan keluarkan maklumat dan harap ia beri manfaat kepada semua,” ujarnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.