Maritim Selangor bantu bawa kru kapal cedera ditikam dapatkan rawatan

11 Mei 2026, 8:17 AM
Maritim Selangor bantu bawa kru kapal cedera ditikam dapatkan rawatan
Maritim Selangor bantu bawa kru kapal cedera ditikam dapatkan rawatan

SHAH ALAM, 11 MEI: Seorang kru kapal warga China cedera selepas dipercayai ditikam rakannya ketika berada di perairan Tanjung Rhu, Pulau Carey, semalam.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor kemudian melancarkan misi bantuan evakuasi perubatan (MEDEVAC) bagi membawa mangsa mendapatkan rawatan segera.

Pengarah Maritim Negeri Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, Pusat Operasi (PUSOP) Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor menerima permohonan bantuan pemindahan mangsa dari kapal MV Lucku Camelia kira-kira jam 8.52 malam.

Katanya, kapal ronda Maritim Malaysia PENGGALANG 41 tiba di lokasi kira-kira empat batu nautika dari pantai Tanjung Rhu pada jam 11.51 malam.

Menurut beliau, pihaknya dimaklumkan berlaku pergaduhan antara dua kru kapal yang mengakibatkan seorang daripadanya cedera ditikam di bahagian perut.

“Siasatan mendapati, mangsa adalah seorang lelaki warga China yang berumur 47 tahun.

“Siasatan mendapati, pergaduhan itu membawa kepada tangkapan seorang kru iaitu seorang warga China berumur 36 tahun kerana cubaan membunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Mangsa dan suspek kemudian dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum tiba jam 1.15 pagi.

Mangsa seterusnya diserahkan kepada ambulans untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Abdul Muhaimin berkata, suspek pula diserahkan kepada penyiasat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.