SYDNEY, 10 MEI: Kerajaan Selangor disaran memperluas sokongan terhadap ekosistem inovasi dan penyelidikan bagi memenuhi keperluan serta aspirasi mahasiswa negeri.
Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor Prof Emeritus Ir Dato’ Dr Hassan Basri berkata kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan industri juga perlu diperkukuh menerusi penyediaan lebih banyak peluang latihan industri berkualiti.
Jelas beliau, antara agenda lain yang wajar diberi perhatian termasuk inisiatif kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa seperti bantuan pendidikan bersasar, sokongan kesihatan mental, pembangunan kepimpinan belia serta akses pembelajaran digital yang lebih saksama.
“Platform libat urus berterusan antara Kerajaan Negeri dan mahasiswa perlu diwujudkan supaya suara anak Selangor dapat diketengahkan dalam proses penggubalan dasar pembangunan komuniti serta agenda pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berucap pada majlis penutup Konvensyen Mahasiswa Selangor (KOMSEL) Luar Negara Australia di Park Royak Darling Harbour di sini malam tadi, yang disempurnakan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia Datin Paduka Sharrina Abdullah.
Dalam pada itu, Hassan turut menekankan pelaburan terhadap pembangunan mahasiswa merupakan pelaburan jangka panjang terhadap masa depan negeri dan negara.
"Jika bakat, idea dan potensi anak muda dapat digilap dengan baik, maka kita bukan sahaja mampu melahirkan graduan kompeten, tetapi generasi pemimpin berintegriti, progresif serta berdaya saing di peringkat global," katanya.








