KUALA LUMPUR, 17 OKT: Peningkatan peruntukan pendidikan sebanyak RM55 juta menjadikan jumlah keseluruhannya melebihi RM130 juta pada 2026, mencerminkan komitmen Selangor dalam memperkukuh pembangunan pendidikan dan potensi generasi muda.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaburan itu penting bagi memastikan anak muda bukan sahaja menguasai ilmu pengetahuan, malah memiliki keyakinan diri, jati diri dan akhlak yang baik dalam menghadapi cabaran masa depan.
Menurutnya, generasi muda perlu mempersiapkan diri menjelang sambutan 100 tahun kemerdekaan Malaysia pada 2057 dengan membina keyakinan berteraskan ilmu, maklumat tepat dan nilai keperibadian yang baik.
“Dalam kita menjengah usia 100 tahun, 30 tahun lagi negeri ini akan berusia 100 tahun, Malaysia juga akan berusia 100 tahun. Saya mengusulkan kepada rakyat Malaysia dan juga anak-anak muda, anda kena menjadi manusia yang berkeyakinan.

“Keyakinan itu bukan keyakinan kosong ataupun keyakinan yang tidak bermakna. Tapi keyakinan itu harus diisi dengan ilmu berguna, harus diisi dengan maklumat tepat dan harus diisi dengan sikap dan akhlak yang betul. Itulah keyakinan yang kita harapkan,” katanya.
Beliau berucap menyempurnakan Majlis Semarak Kasih Murid Tingkatan Lima Yayasan Selangor 2026 yang meraikan 740 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Amirudin berkata pendidikan tidak seharusnya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu membentuk karakter, jati diri dan sahsiah murid supaya mereka mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
“Bukan hanya menyumbat anda dengan data maklumat serta perkara yang dikatakan tentang pembelajaran tetapi membentuk karakter, membentuk jati diri, membentuk sahsiah, membentuk keperibadian,” katanya.
Menurut Amirudin, pelaburan serius negeri dalam sektor pendidikan mencerminkan komitmen untuk terus memperkukuh sektor pendidikan serta menyediakan peluang kepada generasi muda membina masa depan yang lebih baik.
Katanya, Yayasan Selangor perlu terus memperkukuh peranannya selaku agensi peneraju pendidikan negeri, bukan sahaja melalui bantuan dan tajaan, malah dengan melaksanakan inisiatif berimpak tinggi bagi meningkatkan pencapaian akademik serta membangunkan potensi murid secara menyeluruh.

Amirudin berkata kejayaan alumni Yayasan Selangor yang kini memegang peranan penting dalam pembangunan negeri membuktikan keberkesanan institusi itu dalam melahirkan generasi berpotensi dan berwibawa.
“Contohnya, Dato’ Hasan Azhari alumni Yayasan Selangor kini CEO di Invest Selangor,” katanya.
Beliau berkata usaha meningkatkan kecemerlangan pendidikan memerlukan kerjasama strategik semua pihak, termasuk Jabatan Pendidikan Negeri, pejabat pendidikan daerah, sekolah dan rakan strategik lain.
Amirudin turut menggesa generasi muda menjadikan bandar maju dunia sebagai penanda aras untuk meningkatkan keupayaan diri dan daya saing dalam menghadapi persaingan global.
“Selalu kena bersaing dengan Singapura, Bangkok, Jakarta atau Riyadh. Selalu kena bersaing dengan kota maju yang lain seperti Dubai,” katanya.
Sebelum ini, Amirudin berkata pendidikan menjadi antara pendekatan utama Selangor dalam usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat, terutama keluarga berpendapatan rendah.
Menurutnya, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) serta sokongan bagi melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.












