Rasa hidangan bukan lagi ukuran Gen Z

9 Mei 2026, 6:00 AM
Rasa hidangan bukan lagi ukuran Gen Z

Jika dahulu ukuran sesuatu hidangan terletak pada nilai rasa dan keaslian resipi. Namun, keadaan kian berubah khususnya dalam kalangan generasi muda atau lebih popular digelar Gen Z.

Mutakhir ini, makanan baik moden mahupun warisan, bukan lagi sekadar untuk dinikmati untuk memuaskan selera tetapi juga ditonton, dirakam dan diperaga kepada khalayak umum, seumpama fesyen pakaian.

Situasi tersebut dilihat sebagai anjakan besar dalam sorot pandang masyarakat menilai makanan, kata Pengerusi Seminar Gastronomi Kebangsaan (SEGEMUK) III, Dr Mohd Faizal Musa.

“Kalau kita tanya generasi Gen Z hari ini, mereka kata (sesuatu makanan) tak sedap. Tapi bila kita selidik, maksud ‘tak sedap’ itu sebenarnya tidak pedas,” katanya kepada Media Selangor.

Tahap kepedasan antara contoh ukuran dalam menentukan keenakan hidangan. Ini berubah ketara berbanding generasi terdahulu yang lebih mementingkan keseimbangan rasa. Perubahan itu juga tidak terhenti pada aspek rasa.

Bahkan bukan sahaja golongan muda, kebanyakan masyarakat masa kini juga lebih gemar menjadikan faktor suasana dan kreativiti persembahan makanan sebagai keutamaan.

“Mereka pergi ke kafe bukan semata-mata untuk makan. Mereka mahukan pengalaman, suasana yang cantik, tempat yang ‘Instagramable’, makanan yang estetik.

“Kadang-kadang makanan itu bukan fokus utama pun. Yang penting gambar yang diambil itu tampak menarik untuk dikongsi,” kata Dr Mohd Faizal yang turut dikenali sebagai Faisal Tehrani.

Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM, Dr Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani) berucap ketika Seminar Segemuk 3 Gastronomi Kebangsaan d Pusat Konvensyen Bangi Avenue, Hulu Langat pada 6 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Fenomena tersebut mencerminkan bagaimana pelantar media sosial berupaya membentuk selera dan gaya hidup, sekali gus mengubah takrifan sedap-enak-lazat.

Dalam hambatan dunia moden, makanan tradisi paling berdepan cabaran untuk kekal relevan di mata generasi baharu. Faktor gaya hidup juga antara sebab mengapa banyak menu warisan kian terpinggir, malah ada hampir pupus.

Makna budaya

“Banyak makanan tradisi ini sebenarnya berkait dengan ritual kenduri, doa selamat, adat perkahwinan. Bila gaya hidup berubah, ritual semakin kurang diamal. Bila ritual hilang, makanan itu pun perlahan-lahan hilang,” katanya lagi.

Dojo Treats dipenuhi dengan para pengunjung ketika tinjauan Kafe Moreh sempena Ramadan di Kolej Kediaman 13, Universiti Malaya baru-baru ini. Foto BERNAMA

Pada 2014, Jabatan Warisan Negara menyenarai kira-kira 101 makanan tradisi meliputi lauk-pauk, kuih-muih dan manisan yang hampir pupus ditelan peralihan zaman.

Realitinya, generasi muda kini semakin jauh daripada juadah tradisi tersebut. Kesannya, bukan resipi sahaja hilang lenyap tetapi juga makna budaya di sebalik setiap hidangan.

Semenangnya dunia kulinari sering berubah seiring peredaran zaman. Perubahan itu melahirkan konsep lakuran atau ‘fusion’ gabungan elemen tradisional dan moden yang semakin popular.

Makanan tempatan banyak diinspirasi melalui acuan teknik dan menu Barat. Misalnya, percubaan berani gabungan pasta dengan kuah asam pedas, semua itu mencerminkan kreativiti tanpa batas.

“Lakuran ini sesuatu yang menarik. Ia eksperimental. Kita cuba gabungkan pelbagai elemen dan lihat hasilnya,” kata Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Namun, di sebalik keterbukaan tersebut, timbul pula persoalan yang lebih besar, sejauh manakah sesebuah perubahan boleh diterima tanpa menghakis identiti asal?

“Adakah kita masih mengekalkan asasnya, atau sudah terlalu jauh berubah? Itu yang perlu kita fikirkan,” kata Dr Mohd Faizal.

Selain itu, beliau juga tidak menafikan potensi makanan tempatan kerana negara memiliki kekuatan tersendiri. Namun, dari segi promosi, Malaysia masih jauh ketinggalan.

“Lihat bagaimana negara lain mempromosi makanan mereka. Makanan Korea contohnya, begitu meluas, daripada mi segera hingga hidangan seperti tteokbokki. Anak-anak kita pun kenal dan makan makanan itu. Kedai makanan Korea ada di mana-mana,” katanya.

Nasi lemak berwarna merah ungu dari buah naga. Foto BERNAMA

Sebaliknya, juadah tempatan seperti nasi lemak dan pelbagai jenis kuih tradisional belum dipasar secara agresif pada peringkat antarabangsa meski ia berpotensi besar. Jika diketengah ke luar negara, bukan saja budaya dikenali, ekonomi juga berkembang.

Hakikatnya, perubahan selera dan gaya hidup tidak dapat dielak. Generasi muda akan terus membentuk trend baharu sama ada dari segi rasa, persembahan mahupun pengalaman dalam ruang lingkup pemakanan.

Namun, di sebalik semua itu, usaha mempertahan warisan tetap perlu berjalan terus.

Justeru, Dr Mohd Faizal dan pasukannya berharap dapat membuka mata masyarakat tentang nilai sebenar makanan tradisi melalui penganjuran seminar SEGEMUK III pada 6 Mei.

Pada akhirnya, persoalannya bukan sama ada makanan perlu berubah atau kekal tetapi bagaimana untuk mencari keseimbangan antara inovasi dan identiti. Mengapa? Kerana setiap hidangan tradisi, tersimpan bukan sekadar soal rasa tetapi sejarah, budaya dan jati diri yang tidak wajar terpisah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.