Pilih pemimpin politik yang menyatukan negara - Anwar

24 Jul 2026, 12:09 PM
Pilih pemimpin politik yang menyatukan negara - Anwar

PETALING JAYA, 24 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemimpin politik perlu dipilih dalam kalangan mereka yang mampu merangkul kekuatan untuk menyatukan negara, bukan mencetuskan perpecahan.

Beliau berkata pemilihan pemimpin yang tepat penting, kerana kepimpinan politik menentukan hala tuju dasar ekonomi dan pendidikan negara.

“Saya percaya kalau Gen Z bawa mesej ini, ia akan bawa perubahan. Politik fikiran lama, politik lama yang menakut-nakutkan, perkauman dan kebencian, mesti dihentikan.

“Kita tidak sepatutnya menanamkan rasa takut dalam kalangan orang Melayu terhadap orang Cina, dalam kalangan orang Cina terhadap orang India, mahupun dalam kalangan orang India terhadap kaum Dayak. Kita sebaliknya patut menanamkan kekuatan... keazaman untuk memerangi rasuah dan perkauman,” kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika berucap di Program Generasi Muda Suara Baharu di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Perdana Menteri berkata pemimpin juga mesti dipilih daripada mereka yang tidak terbabit rasuah dan tidak menanam kebencian antara satu sama lain, tetapi mampu mentadbir dengan baik untuk menyelamatkan negara ini.

"Kita bawa perubahan, reform. (Kalau) nak cakap pasal reform, masa ada kuasa. Jangan berleter masa dah hilang kuasa. Nak buat perubahan, mesti sekarang.

"Tapi perubahan kena bijaksana. Mesti tentukan ia berjaya. Bukan nak ikut semangat kita. Menjerit sana sini, tetapi tidak mampu membawa perubahan sebenar," katanya.

Perdana Menteri turut menzahirkan kebanggaan atas kerjasama yang baik antara kaum terutamanya di kalangan generasi muda kini.

"Saya amat gembira dan teruja. Saya melihat masa hadapan yang cerah untuk Malaysia. Saya telah melihat orang Melayu dan kini orang Cina serta India dan saudara-saudari kita di Sabah Sarawak bekerjasama. Golongan muda Gen Z dengan pemikiran baharu, mempunyai komitmen baharu demi Reformasi," kata beliau.

Dalam pada itu, Anwar berkata Program Generasi Muda Suara Baharu akan diadakan di setiap daerah seluruh negara, untuk membawa semangat perjuangan reformasi anak-anak muda.

"Saya gembira hari ini kerana kita tengok semangat baru dalam kalangan anak muda dan ini adalah permulaan," kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.