Teknologi makanan pacu kelangsungan juadah warisan negara

6 Mei 2026, 9:49 AM
Teknologi makanan pacu kelangsungan juadah warisan negara
Teknologi makanan pacu kelangsungan juadah warisan negara
Teknologi makanan pacu kelangsungan juadah warisan negara

HULU LANGAT, 6 MEI: Penglibatan pakar teknologi pemakanan dilihat mampu menjadi pemangkin penting dalam memastikan kelangsungan makanan warisan negara terus relevan, khususnya dalam era gaya hidup moden yang serba pantas.

Pengerusi Seminar Gastronomi Kebangsaan (SEGEMUK) Dr Faizal Musa berkata, kepakaran dalam bidang sains pemakanan diperlukan bagi menambah baik proses penyediaan makanan tradisional yang lazimnya rumit dan memakan masa.

Menurutnya, kebanyakan juadah warisan mempunyai kaedah penyediaan yang dianggap renyah, sekali gus menjadi cabaran kepada generasi baharu untuk terus mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

“Kita perlukan saintis dalam bidang sains pemakanan untuk membantu dari segi teknologi, contohnya bagaimana proses seperti memotong atau memasak dapat dipercepatkan tanpa mengorbankan keaslian rasa dan ketahanan makanan tersebut,” katanya kepada Media Selangor.

Dr Faizal yang juga Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan, antara cabaran utama menyediakan makanan warisan ialah tempoh penyediaan yang panjang, sehingga berjam-jam atau berhari-hari untuk disiapkan.

“Sebagai contoh, ada makanan seperti Kelemai yang perlu dibakar sehingga 48 jam untuk mendapatkan hasil terbaik. Namun, dengan gaya hidup masyarakat hari ini yang mengejar masa, sesuatu perlu dilakukan agar ia kekal relevan,” ujarnya.

Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM, Dr Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani) berucap ketika Seminar Segemuk 3 Gastronomi Kebangsaan d Pusat Konvensyen Bangi Avenue, Hulu Langat pada 6 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Tambah beliau, penggunaan teknologi moden seperti periuk tekanan dalam masakan harian menunjukkan inovasi mampu mempercepatkan proses tanpa menjejaskan kualiti sekali gus pendekatan sama boleh diaplikasikan kepada makanan tradisional.

Selain itu, Dr Faizal turut menekankan kepentingan mencari bahan alternatif bagi menggantikan bahan asal yang sukar diperoleh di sesetengah kawasan.

“Contohnya Apam Johol yang menggunakan daun rambai. Pokok rambai banyak terdapat di selatan Semenanjung, tetapi kurang di kawasan utara dan pantai timur. Jadi, kita perlu kaji daun lain yang sesuai sebagai pengganti, seperti daun getah atau alternatif lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa usaha memelihara makanan warisan tidak hanya bergantung kepada teknologi semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan promosi yang berkesan.

“Makanan tradisional perlu dipromosikan dan diperkenalkan kepada masyarakat. Ada makanan yang sebelum ini tidak dikenali, tetapi menjadi popular seperti Nona Manis yang kembali mendapat tempat selepas tular ketika pandemik Covid-19,” katanya.

Menurutnya, fenomena tersebut menunjukkan bahawa pendedahan dan inovasi mampu menghidupkan semula makanan tradisional dalam kalangan masyarakat moden.

“Kesimpulannya, terdapat dua aspek penting iaitu promosi dan sinergi antara ahli akademik pelbagai bidang, khususnya sains pemakanan dan gastronomi, bagi memastikan makanan warisan kita terus kekal,” katanya.

Bertempat di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), lebih 30 pembentang termasuk 14 pembentang dari luar negara menghadiri program sehari berkenaan.

Mendapat kerjasama Media Selangor, acara bertemakan Juadah Asli vs Lakuran itu dihadiri lebih 200 peserta termasuk ahli akademik dan penggiat industri gastronomi.

SEGEMUK III memberi tumpuan kepada kajian gastronomi alam Melayu yang merangkumi pelbagai disiplin seperti bahasa, budaya, psikologi, sastera dan arkeologi.

Diterajui ATMA UKM, pengucap utama majlis berkenaan ialah pempengaruh terkenal dalam bidang masakan iaitu Chef Kecik juga pemilik restoran terkenal Chef Kecik.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.