SHAH ALAM, 6 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memaklumkan beberapa kejadian bencana melibatkan banjir kilat, pokok tumbang dan tanah runtuh berlaku susulan hujan lebat berterusan di sekitar Petaling Jaya hari ini.
Menurut MBPJ, antara kawasan terjejas banjir kilat termasuk Medan Selera 223, PJS 2/3, PJS 4/21B, PJS 6, Jalan 17/21H serta Taman Buana Perdana, namun semua lokasi berkenaan dilaporkan surut sepenuhnya pada jam 8.43 malam.
“Dalam masa sama, beberapa insiden pokok tumbang turut berlaku di Jalan Barat (Wisma Daju), Jalan PJU 8/3A, Jalan Templer serta belakang Restoran Sederhana, Seksyen 8 dan kesemua kejadian sedang serta telah diambil tindakan oleh pasukan teknikal MBPJ.
“Selain itu, satu kejadian tanah runtuh di Seksyen 20/14 yang berpunca daripada kegagalan cerun melibatkan struktur longkang dan memerlukan kerja pembaikan segera,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Skuad Pantas MBPJ bersama unit teknikal telah digerakkan bagi melaksanakan kerja pembersihan, pemantauan berterusan serta pengurusan risiko di semua lokasi terlibat bagi memastikan keadaan kembali selamat dan terkawal.
Orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati, mengelakkan kawasan terjejas serta tidak meredah jalan yang dinaiki air kerana ia boleh mengundang risiko keselamatan dan membahayakan nyawa.
MBPJ juga menasihatkan orang awam agar tidak menghampiri kawasan longkang besar dan sungai berikutan arus air yang deras selain akan terus memantau keadaan semasa dari semasa ke semasa.
Terdahulu, media melaporkan sebuah medan selera di Jalan 51A/223, Seksyen 51A, Petaling Jaya dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang melanda ibu negara petang tadi dengan paras air naik hampir 1.2 meter sehingga menenggelamkan beberapa kenderaan di kawasan parkir.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar bagaimanapun memaklumkan paras air mula surut ketika operasi dijalankan dan tiada pemindahan mangsa dilakukan.










