SHAH ALAM, 13 FEB: Kira-kira 800 kilogram (kg) campuran air garam disembur menerusi Operasi Pembenihan Awan (OPA) bagi menangani masalah paras air di tujuh empangan susulan cuaca kering di beberapa kawasan ketika ini.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam satu kenyataan berkata, operasi dilaksanakan menggunakan sebuah pesawat C-130H yang berlepas dari Pangkalan Udara (PU) Subang, lapor Berita Harian.
Misi OPA dilaksanakan secara berperingkat bermula 11 Februari sehingga 15 Februari di tiga negeri iaitu Johor, Kedah dan Perak.
"Operasi ini bagi membantu Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam menangani masalah paras air di tujuh empangan yang berada pada paras amaran susulan cuaca panas dan kekurangan hujan ketika ini.
"TUDM bersama METMalaysia dan NADMA melaksanakan OPA di Johor membabitkan tiga empangan iaitu Upper Layang, Pulai 1 dan Machap," katanya.
TUDM berkata, OPA bermula dengan proses bancuhan air garam oleh METMalaysia dan anggota TUDM membabitkan empat tong bancuhan air garam dengan setiap satu mengandungi 500 liter air dicampur 200 kg garam.
Katanya, proses pembenihan awan mula dilakukan pada aras 1,524 meter hingga 2,743 meter pada awan 'Towering Cumulus'.
"Kerjasama ini memperlihatkan komitmen berterusan TUDM dalam melaksanakan operasi ketenteraan selain peperangan (MOOTW).
"Ia juga adalah fungsi sekunder Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam membantu agensi kerajaan lain dalam pengurusan bencana dan apa juga operasi membabitkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat," katanya.




