Selangor perkukuh dasar wanita dan OKU, tumpu isu keganasan dan autisme

5 Mei 2026, 6:00 AM
Selangor perkukuh dasar wanita dan OKU, tumpu isu keganasan dan autisme

SHAH ALAM, 5 MEI: Kerajaan Selangor terus memperkukuh dasar berkaitan wanita dan komuniti rentan melalui penambahbaikan dasar serta kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat beliau kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, semalam.

Menurutnya, perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa wanita termasuk penambahbaikan Undang-Undang Keluarga Islam serta persiapan penganjuran Gender Outlook Forum (GOF) yang dijadual berlangsung pertengahan tahun ini.

“Selain itu, kami turut membincangkan peranan agensi agama dalam menangani keganasan berasaskan gender (GBV) termasuk isu femisid yang semakin membimbangkan.

“Cadangan penubuhan Jawatankuasa Orang Kurang Upaya (OKU) Islam Kebangsaan turut dikemukakan sebagai platform lebih tersusun bagi memperkasakan komuniti ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari dan Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor Danial Al-Rashid Haron mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kompleks Islam Putrajaya pada 4 Mei 2026. Foto Facebook Anfaal Saari

Dalam masa sama, Anfaal turut mengetengahkan keperluan memperkukuh sokongan kepada komuniti OKU melalui pendekatan lebih inklusif, termasuk penerapan Fiqh Autisme dalam pembangunan fatwa.

Beliau turut menghargai inisiatif kementerian melancarkan Fiqh Autisme yang disifatkan sebagai langkah penting dalam meningkatkan kefahaman serta pendekatan lebih inklusif terhadap komuniti autisme.

Menurutnya, usaha di Selangor juga selari dengan perancangan di peringkat kementerian sekali gus membuka ruang kerjasama lebih erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan sedang merangka modul khusus untuk kanak-kanak autisme menerusi Fiqh Autisme bagi memastikan golongan itu mendapat akses pendidikan agama dan kefahaman ibadah yang lebih inklusif.

Garis panduan berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Mufti.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.